Isu stoking kalimah Allah: Reaksi Akmal liabiliti kerajaan perpaduan, kata pemimpin DAP

Isu stoking kalimah Allah: Reaksi Akmal liabiliti kerajaan perpaduan, kata pemimpin DAP

Dr Boo Cheng Hau berkata Pakatan Harapan perlu menguruskan kumpulan konservatif dalam Umno dan juga penyokong progresifnya sendiri.

Dr Boo Cheng Hau dari DAP berkata reaksi Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh terhadap kontroversi stoking tertera kalimah Allah meletakkan Pakatan Harapan di kedudukan yang sukar.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin DAP Johor menganggap reaksi Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh terhadap kontroversi stoking tertera kalimah Allah adalah satu liabiliti kepada kerajaan perpaduan.

Dr Boo Cheng Hau berkata beliau faham kemarahan dalam masyarakat Islam dan mempertahankan hak mereka untuk menyuarakan bantahan berhubung isu itu.

Bagaimanapun, katanya reaksi Akmal yang menggesa boikot seluruh negara terhadap rangkaian kedai serbaneka KK Mart, mengimbas kembali sikap sayap Umno berkenaan sebelum PRU12.

Sebelum 2008, Pemuda Umno dilihat sebagai “pembuli”, kata Boo.

Beliau juga mengimbas kembali kejadian pada 2001, apabila Pemuda Umno mengadakan bantahan terhadap Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan Persatuan Cina Malaysia kerana mempersoalkan hak dan kelebihan Melayu dan Bumiputera.

Katanya, Umno dan Barisan Nasional terpaksa membayar “harga yang mahal” pada pilihan raya umum itu, yang menyaksikan gabungan berkenaan kalah di Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

“Kelihatannya Pemuda Umno ketika ini masih hilang sentuhan dan enggan berubah mengikut masa,” katanya.

Katanya, parti politik seharusnya menjauhkan diri dari topik sensitif dan menyerahkan kepada NGO untuk mewakili rakyat dalam isu seperti itu.

“Apabila parti politik terlibat, ia menjadi pedang bermata dua,” katanya.

Boo berkata, reaksi Akmal dalam isu stoking itu meletakkan Pakatan Harapan (PH) di kedudukan sukar, kerana ia perlu menguruskan kumpulan konservatif dalam Umno dan juga penyokong progresifnya, yang didakwanya “semakin kecewa” dengan kerajaan perpaduan.

“Soalan yang perlu ditanyakan, adakah pendirian Akmal adalah bagi menarik sokongan orang Melayu bagi mengimbangi dengan kehilangan sokongan bukan Melayu.

“Inilah persoalan yang perlu mereka (Pemuda Umno) lihat. Tiada siapa boleh membantu kecuali diri mereka sendiri,” katanya.

Katanya, situasi itu dilihat lebih memberi kelebihan kepada pembangkang, yang dilihat mengambil pendekatan dengan imej lebih reformis.

“Ada alasan strategik mengapa Perikatan Nasional (PN) tidak bersuara berhubung isu stoking ini,” katanya.

Pada Ahad lalu, parti komponen PN, PAS berkata ia tidak akan menyertai gerakan memboikot KK Mart. PAS berkata ia mahu tindakan tegas dikenakan terhadap pihak yang terbabit dengan isu itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.