
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata pelaksanaan kajian itu dipersetujui Jemaah Menteri pada 31 Jan, dengan kajian empirikal pertama dilaksana di Kanada pada Mei ini.
Kajian itu antara lain melibatkan perjumpaan dengan Menteri Keadilan dan Peguam Negara Kanada Arif Virani, Jawatankuasa Pilihan Khas serta ketua pengarah pendakwa Kanada.
Selain itu, perbincangan meja bulat dijangka diadakan di Universiti Ottawa dengan penyertaan dan kerjasama Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya bersama pakar perundangan yang berkenaan.
“Perbincangan di Kanada akan memfokus kepada kajian empirikal secara terperinci dan mendapatkan keterangan secara terus mengenai model pengasingan terbaik yang diamalkan,” menurutnya dalam kenyataan.
Azalina berkata, parameter kajian itu mencakupi beberapa aspek termasuk perlindungan institusi terhadap pelantikan dan pemecatan pendakwa raya serta aspek akauntabiliti, khususnya keperluan melaporkan kepada mana-mana badan sebagai mekanisme semak dan imbang.
Aspek lain ialah takat campur tangan peguam negara berkaitan penetapan dasar keadilan jenayah dan kuasa untuk menghentikan pendakwaan jika dimulakan oleh pendakwa raya serta struktur perkhidmatan, struktur organisasi dan operasi pejabat Pendakwa Raya di luar negara.
“Pelaksanaan kajian ini memperlihatkan bahawa kerajaan Madani akan terus kekal komited dalam agenda reformasi institusi yang akan memastikan tadbir urus negara yang lebih demokratik dipertingkat selaras dengan pentadbiran, sistem perundangan dan tatakelola yang baik,” katanya.
Beliau juga berkata kajian itu akan dipantau oleh dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Kajian Komparatif dan Jawatankuasa Teknikal.
Keanggotaan Jawatankuasa Kajian Komparatif melibatkan pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, seorang wakil Ahli Dewan Rakyat, masing- masing daripada blok kerajaan dan pembangkang serta agensi pusat seperti Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Azalina berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara akan menjadi urus setia bersama bagi kedua-dua jawatankuasa.
“Kedua-dua jawatankuasa ini akan memastikan kajian empirikal dapat dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira pelaksanaan pengasingan di negara lain serta pandangan pihak berkepentingan di dalam negara,” katanya.