
“Ini peringatan untuk peringkat penguatkuasaan kastam, LHDN, imigresen, kita sedang pantau dari dekat dan saya harap sangat supaya kita dapat elakkan laporan-laporan kecuaian ini,” katanya pada perhimpunan bulanan warga kementerian kewangan di Putrajaya.
“Kerana bila kita lihat kadang sergahan di bawah masih ada kecoboran ketirisan dan amalan lapuk yang merosakkan sendi negara. Baru ini kastam, itu memang sangat mengetuk pintu hati dan perasaan saya kerana (kastam) di bawah keluarga menteri kewangan.”
Minggu lalu, SPRM mendedahkan sindiket penyeludupan membabitkan 34 anggota Jabatan Kastam di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang yang dipercayai menerima wang rasuah bernilai lebih RM4.7 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata jumlah ketirisan melibatkan anggota kastam itu mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lepas.
Beliau dilaporkan berkata anggota dan pegawai penguat kuasa berusia 30 hingga 50 ditahan selepas dipercayai menerima wang rasuah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan.
Dalam pada itu, Anwar meminta ketua-ketua agensi berani bertindak dan tidak melindungi “anak buah” seperti dilakukan Ketua Pengarah Kastam Anis Rizana Mohd Zainudin yang mengambil tindakan segera selepas pendedahan salah laku dalam kalangan anggotanya.
“Ketua pengarah Kastam, saya ucap tahniah kerana berani ambil tindakan tegas… apa tak ada risiko? ada risiko… tak ada yang marah? ada yang marah.. tetapi itulah tanggungjawab bila jadi ketua, bersihkan segera.
“Beliau tidak lihat dari segi negatif terus ambil tindakan… ada kelompok terlibat (anggota terbabit salah laku) tukar, ambil tindakan disiplin, ganti. Saya yakin ramai lagi majoriti penjawat awam orang yang ada integriti dan kasih kepada negaranya,” kata Anwar.
“Jadi Datuk Anis, teruskan dengan lebih berani lagi.”