Wanita, teman lelaki mengaku salah abai anak perempuan hingga mati

Wanita, teman lelaki mengaku salah abai anak perempuan hingga mati

Mangsa sebelum ini dilaporkan kritikal selepas terjatuh dari kenderaan.

Noraini Haron dan Mohd Khairul Shamsua Israk mengaku salah di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan mengabaikan anak perempuan berusia tiga tahun sehingga mengakibatkan kematiannya bulan lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang wanita dan teman lelakinya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan mengabaikan anak perempuan berusia tiga tahun sehingga mengakibatkan kematiannya, bulan lalu.

Tertuduh, Noraini Haron, 42 dan Mohd Khairul Shamsua Israk, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka dengan niat bersama sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa, Nuraireen Afeeya Muhammad Padzli, mengabaikan kanak-kanak terbabit sehingga menyebabkan kematiannya.

Kesalahan itu dilakukan dari 18 Mac hingga 24 Mac lalu antara kira-kira 12 tengah hari hingga 6.45 petang di sebuah rumah di Taman Mayung, Port Dickson.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan jaminan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

Noraini yang tidak diwakili peguam merayu dikurangkan jumlah jaminan kerana tidak bekerja dan mempunyai tiga anak termasuk mangsa, manakala Khairul memberi alasan dia hanya bekerja sebagai pembantu bengkel serta menanggung enam anak serta ibu bapa.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat setiap tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes untuk laporan forensik pada 2 Mei depan.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Bandar Sunggala, Port Dickson, pada 26 Mac bagi membantu siasatan membabitkan kes pengabaian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.

Ketua Polis Port Dickson, Aidi Sham Mohamed, dipetik berkata pihaknya menerima laporan dari Hospital Port Dickson pada 24 Mac memaklumkan mangsa dalam keadaan kritikal akibat terjatuh dari kenderaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.