Tiada usaha wajar sebelum 1MDB labur USD1 bilion ke PSI, kata saksi

Tiada usaha wajar sebelum 1MDB labur USD1 bilion ke PSI, kata saksi

Jasmine Loo berkata pengurusan dan peguam 1MDB sepatutnya menentukan sama ada PetroSaudi International Ltd wujud sebelum membuat pelaburan.

Bekas peguam 1MDB Jasmine Loo memberitahu Mahkamah Tinggi bukan tugas Najib Razak, yang merupakan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan maklumat mengenai kewujudan PSI di Arab Saudi.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sepatutnya telah melakukan usaha wajar mengenai kewujudan PetroSaudi International Ltd (PSI) sebelum dana 1MDB disalurkan kepada PSI untuk tujuan usaha sama.

Bekas peguam kanan 1MDB Jasmine Loo, 50, yang membuat pengakuan itu semasa pemeriksaan balas oleh Muhammad Shafee Abdullah berkata bahawa bukanlah tugas Najib Razak, yang merupakan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan maklumat mengenai kewujudan PSI di Arab Saudi.

Sebelum ini pada 2019, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan dalam perbicaraan yang sama berkata bahawa perjanjian usaha sama antara 1MDB dan PSI pada 2009 adalah gagal.

Sebagai rekod, dalam perjanjian usaha sama yang ditandatangani pada 28 Sept 2009, 1MDB telah menyalurkan USD1 bilion untuk 40% kepentingan dalam syarikat itu manakala PetroSaudi Holdings Cayman (sebuah syarikat yang kononnya merupakan anak syarikat PSI) menyuntik apa yang disifatkan sebagai aset bernilai USD108 juta untuk baki 60% kepentingan.

Terdahulu, Shafee mencadangkan kepada Loo bahawa apabila berurusan dengan 1MDB, ia melibatkan jumlah wang yang sangat besar dan sebagai peguam kanan, Loo perlu betul-betul yakin bahawa dia berurusan dengan entiti yang betul, dan Loo bersetuju dengan cadangan itu.

Shafee: Sebanyak mana anda tahu mengenai PSI?

Loo: Pada masa itu apa yang saya tahu hanya berdasarkan dokumen yang diserahkan kepada saya seperti surat daripada bank dan maklumat yang diberikan kepada saya oleh Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB).

Shafee: Adakah tugas perdana menteri untuk menentukan sama ada PSI wujud di Arab Saudi?

Loo menjawab “tidak”.

Peguam itu juga mencadangkan ia adalah tugas perunding undang-undang untuk 1MDB iaitu Wong & Partners dan Loo sendiri untuk menjalankan usaha wajar berhubung PSI sebelum menjalankan sebarang urusan dengan 1MDB, dan Loo menjawab “Ya”.

Shafee bagaimanapun tetap berpendapat bahawa PSI di Arab Saudi tidak wujud, tetapi Loo menyangkal dengan menyatakan bahawa terdapat beberapa maklumat yang tersedia untuknya yang akan merujuk kepada PSI.

Shafee: Saya katakan pada anda bahawa ia tidak boleh berada di sana. Syarikat itu tidak wujud (di Arab Saudi). Keseluruhan perkara tentang PSI adalah kerja penipu secara total.

Loo: Kalau difikirkan balik, ya.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya (sebagai perdana menteri) untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.