
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata kementerian akan bersikap adil dan sebarang bentuk tindakan hanya akan diambil berpandukan kepada keputusan siasatan.
Beliau berkata, kes itu perlu dijadikan satu pengajaran dan pada masa sama, etika kewartawanan perlu ditingkatkan bagi mengelakkan kesilapan sama berulang pada masa hadapan.
“Episod ini perlu dijadikan satu pengajaran dan disebabkan itu, penglibatan beberapa pihak termasuk MPI (Institut Akhbar Malaysia) dan IPPTAR (Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak) sangat signifikan bagi tujuan (meningkatkan etika),” katanya menurut Bernama di Angkasapuri.
Terdahulu, Sultan Abdullah dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Sultan Pahang zahir rasa dukacita dan kecewa berhubung laporan sebuah portal bertajuk “Sultan Pahang beri amaran terhadap amalan bawaan PAS” yang disiarkan Jumaat lalu.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mohamed Zahari Yahya, berkata baginda bertitah laporan itu ternyata bersifat fitnah dan boleh memberikan implikasi negatif sehingga mampu mendorong kepada suasana tidak harmoni dalam masyarakat.
Beliau berkata, baginda turut mengingatkan semua pengamal media sama ada media cetak atau media elektronik untuk meneliti serta memperhalus setiap berita sebelum membuat interpretasi yang boleh menyimpang atau tersasar daripada maksud sebenar.
Semalam, Harapandaily menarik balik laporan bersifat fitnah mengaitkan titah Sultan Abdullah merujuk satu parti politik.
Portal itu juga memohon maaf atas kekhilafan muat naik laporan tersebut.
Bagaimanapun, Pemuda PAS menyatakan akan buat laporan polis terhadap portal berkenaan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah mengaitkan parti itu dengan titah Sultan Pahang.
Ketua Penerangan Pemuda PAS, Nadzir Helmi, berkata pihaknya kecewa dengan apa dikatakan pelaporan palsu dibuat atas titah baginda.