
Menteri Rafizi Ramli berkata kementeriannya akan membentangkan perancangan penyasaran semula subsidi kepada Jemaah Menteri bulan ini juga selepas proses pendaftaran Padu tamat semalam.
“Sebarang pengumuman berkenaan hal ini akan diumumkan oleh kerajaan pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Tempoh pendaftaran Padu yang dibuka selama tiga bulan, Rafizi melaporkan sejumlah 17.65 juta orang atau 58.7% warganegara ini telah mendaftar.
“Seramai 11.55 juta (52.6%) warganegara berumur atas 18 tahun berjaya mendaftar dan mengemaskini profil diri di sistem Padu, menjadikan 17.65 juta (58.7%) keseluruhan profil rakyat, termasuk ahli isi rumah bawah 18 tahun, berjaya dikemaskini di sistem Padu,” katanya.
Perlis merekodkan pendaftaran tertinggi dengan 66.9%, diikuti Kelantan (65.2%); Terengganu (62.7%), dan Perak (60.3%); manakala negeri terendah mendaftarkan Padu adalah Selangor (44.5%).
Padu yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap berumur 18 tahun ke atas berperanan untuk memastikan mereka yang layak menerima manfaat berbentuk bantuan atau perlindungan daripada inisiatif kerajaan.
Ia akan jadi sumber rujukan utama semua agensi kerajaan dalam membuat keputusan, untuk menambah baik kecekapan penyampaian dan perbelanjaan.
Rafizi berkata kerajaan akan menggunakan data sedia ada untuk menentukan kelayakan individu yang tidak mendaftar Padu, bagi tujuan penyasaran subsidi.