Gerakan dakwa ada kelebihan di Kuala Kubu Baharu

Gerakan dakwa ada kelebihan di Kuala Kubu Baharu

Dominic Lau percaya Gerakan mempunyai kelebihan kerana pernah bertanding pada PRN, Ogos lalu.

Presiden Gerakan Dominic Lau berkata pengundi India dan Orang Asli dijangka menjadi penentu pada PRK Kuala Kubu Baharu.
KUALA LUMPUR:
Presiden Gerakan Dominic Lau berkata parti itu mempunyai kelebihan jika dibenarkan mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRK Kuala Kubu Baharu akan datang.

Lau berkata Gerakan sebelum ini telah bertanding di kerusi itu pada PRN Ogos lalu namun calonnya Teoh Lien Hong tewas kepada penyandangnya Lee Kee Hiong dengan majoriti 4,119 undi.

Lee, wakil rakyat tiga penggal DUN Kuala Kubu Baharu meninggal dunia akibat kanser pada 21 Mac lalu.

“Kita tahu sentimen orang dan calon (dicadangkan) kita pun dikenali oleh penduduk,” kata Lau kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di sini.

Bagaimanapun, Lau berkata Gerakan akan tetap menyokong sepenuhnya mana-mana calon yang dipilih kepimpinan PN dengan menambah PAS dan Bersatu mempunyai pandangan sendiri mengenai siapa yang patut mewakili pembangkang.

Lau turut mendedahkan Ketua Pembangkang Selangor Azmin Ali akan mengetuai jentera pilihan raya PN.

Katanya, semua parti komponen PN telah diarahkan melaksanakan kajian mengenai maklum balas dan sentimen pengundi.

Beliau turut membayangkan pengundi Orang Asli dan India menjadi penentu dalam PRK ini.

Menurutnya, 18% kawasan itu adalah pengundi India manakala 5% pula Orang Asli.

“(Jika) kita nak menang, kita nak dapat sokongan daripada Orang Asli, orang India.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.