
Katanya, siasatan teliti dijalankan polis dan MSN menerusi Jawatankuasa Salah Laku dan Perlindungan Dalam Sukan (JSPS) pada 26 Mac lalu.
“MSN menerusi JSPS telah menjalankan siasatan teliti, termasuk menemu bual pelbagai pihak berkaitan.
“Hasil penelitian siasatan, MSN menerusi cadangan diberikan JSPS juga mendapati tiada sebarang asas atau saksi untuk menyokong dakwaan salah laku berkenaan,” kata MSN dalam kenyataan hari ini.
Justeru, MSN memutuskan jurulatih terbabit dibenarkan kembali melatih perenang para negara yang sedang bersiap untuk Sukan Paralimpik Paris 2024 dalam tempoh terdekat ini.
Pada masa sama, ia menjamin persekitaran selamat kepada semua pihak terbabit dalam program latihan kendaliannya dan tidak pernah memandang ringan sebarang aduan salah laku.
“MSN juga memiliki prosedur aduan dan siasatan menyeluruh serta telus, termasuk keutamaan melindungi privasi dan kerahsiaan semua pihak terlibat dalam mana-mana siasatan.
“Sehubungan itu, MSN berharap semua pihak, termasuk media massa memahami kesejahteraan mental dan fizikal atlet para sentiasa menjadi keutamaan.”
Februari lalu, media tempatan melaporkan Majlis Paralimpik Malaysia mengesahkan seorang jurulatih para disiasat atas dakwaan gangguan seksual terhadap seorang atlet para bawah umur.
Presidennya, Megat D Shahriman Zaharudin memaklumkan badan induk itu membuat laporan polis selepas menerima e-mel berhubung perkara itu daripada Persatuan Renang Para Malaysia.