
“Dalam sistem Padu, sudah ada data (kira-kira) 30 juta (rakyat),” katanya pada sidang media.
“Namun, ini hanya data asas yang dikumpul daripada pelbagai agensi. Cuma yang kita perlukan ialah data ‘dinamik’.”
Menurutnya, kira-kira 10.6 juta rakyat Malaysia telah mengemas kini data dalam sistem Padu setakat 11.59 malam tadi.
Jumlah itu mewakili 48.3% daripada 21.96 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas, katanya.
Sementara itu, Uzir berkata, 1.69 juta rakyat di Selangor sudah mengemas kini data mereka dalam sistem Padu.
“Negeri dengan jumlah tertinggi rakyat mengemas kini data mereka dalam Padu ialah Perlis, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan. Mereka sudah mencapai ambang 50%.”
Katanya, sasaran sekarang ialah mencapai 50% pendaftaran di seluruh negara pada fasa pertama pendaftaran.
Khamis lalu, Premier Sarawak, Abang Johari Openg dilaporkan berkata, Padu tidak patut mengumpul maklumat berlebihan yang tiada kaitan dengan status kewangan seseorang.
Beliau dipetik The Borneo Post berkata, rakyat Sarawak mempersoalkan keperluan memberikan maklumat peribadi berlebihan apabila mendaftar dalam Padu.
Minggu lalu, pegawai pentadbiran Sarawak di Sri Aman dan Sibu diarah tidak mendaftarkan maklumat penduduk dalam Padu sehingga diberitahu.
Residen Sri Aman, Abang Porkan Abang Budiman mengeluarkan arahan itu dalam memorandum rasmi kepada pegawai daerah dan tadbir di sana.
Pentadbir diminta menyampaikan amanat kepada ketua masyarakat dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di bawah tanggungjawab mereka.