
Beberapa peniaga yang ditemui FMT di Putrajaya berkata, dua minggu pertama Ramadan seperti “kemarau” memandangkan ibu bapa terpaksa mengutamakan keperluan anak-anak apabila sesi persekolahan baharu bermula.
“Minggu pertama dan kedua agak perlahan bagi saya, (kita) fahamlah kerana pengguna kena belanja untuk keperluan sekolah anak mereka.

“Lainlah kalau awal Ramadan waktu cuti sekolah,” kata Rokiah Wahab, 60, yang menjual kuih Raya.
Sesi persekolahan baharu 2024/2025 bermula pada 9 dan 10 Mac, manakala hari pertama Ramadan jatuh pada 12 Mac.
Peniaga baju Melayu, Suhaimi Abu Bakar, 55, berkata pada dua minggu pertama Ramadan, ramai orang datang sekadar untuk melihat-lihat barangan.
“Lebih ramai datang untuk tengok-tengok sahaja, tak beli, tetapi saya tak risau,” katanya.

“Kalau kita tengok semasa wabak Covid-19 pun, orang ramai masih berbelanja untuk Raya, jadi saya percaya jualan akan meningkat.
Tambahnya, ramai yang menunggu gaji masuk sebelum membeli-belah.
Peniaga tudung, Anis Saludin, 26, turut menjangkakan perniagaannya akan bertambah baik minggu ini.
Bagaimanapun, katanya, perniagaannya mungkin terjejas kerana orang ramai memilih untuk membeli dalam talian. Menurutnya, platform dalam talian mampu menawarkan harga lebih murah disebabkan kos lebih rendah.
“Tetapi ada juga orang yang nak pegang material (pakaian) atau sesuatu produk sebelum beli, jadi saya tumpukan tawar produk berkualiti kepada golongan ini.
“Kalau mereka puas hati, mereka akan beli lagi, atau syorkan produk jualan saya kepada keluarga dan kawan-kawan,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Rahim Sidek, 42, yang menjual baju Raya berkata, beliau menjangkakan pembelian akan memuncak sepanjang minggu depan sebelum orang ramai pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri.
“Memandangkan Raya jatuh pada Rabu (10 April), ramai yang akan cuti pada hujung minggu sebelum itu, jadi mereka hanya ada minggu depan ini untuk beli-belah,” katanya.