
Dalam catatan di X, bekas menteri undang-undang itu mengkritik “umat Islam salah arah” yang menurutnya menuduh Fadhlina menidakkan kewujudan perkataan itu dalam al-Quran.
“Bukan itu yang (Fadhlina) cuba buat. Kafir ialah istilah digunakan dalam konteks musuh Islam zaman dahulu yang gigih berusaha menyekat penyebarannya. Islam kini sudah berkembang.
“Musuh sebenar Islam hari ini ialah kejahilan. Pendakwah palsu mengajar Islam yang palsu, kekurangan pengetahuan, kemiskinan dan halangan dari segi ekonomi. Inilah musuh semula jadi (Islam), bukan orang kafir,” katanya.
Zaid berkata, jika golongan Islam ortodoks menganggap golongan bukan Islam sebagai musuh hanya kerana mereka menganut agama yang berbeza, maka dunia Islam akan “bertarung dalam pertempuran sia-sia dan tidak masuk akal yang tidak dapat mereka menangi”.
“Mereka boleh asingkan diri, hidup dalam dunia sendiri, dan enggan berinteraksi dengan orang ‘kafir’, (tetapi) dunia akan terus berputar,” katanya.
Awal hari ini, Fadhlina dilaporkan berkata, beliau tidak membenarkan anak-anaknya menggunakan istilah “kafir” untuk merujuk kepada orang bukan Islam, “kerana ia mempunyai konotasi kebencian”.
”Isu sebutan ‘kafir’ atau ‘non-Muslim’ bukanlah tindakan saya melarang penggunaan perkataan dalam al-Quran, apatah lagi menafikan istilah yang digunakan dalam al-Quran …. (sebaliknya) memilih panggilan bersesuaian dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap video yang tular di media sosial yang memetik kata-katanya dalam sebuah majlis tertutup.
Menurut Fadhlina, video itu sengaja disebarkan dan diselewengkan konteksnya sebagai cubaan jahat untuk merosakkan imej dan kredibilitinya, serta mencetuskan ketegangan agama.