Afif gesa segerakan projek PJD Link

Afif gesa segerakan projek PJD Link

Adun Taman Medan Dr Afif Bahardin berkata ini kerana projek itu dijangka dapat membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Taman Medan.

Adun Taman Medan Dr Afif Bahardin berharap kerajaan Selangor dapat memberi keputusan segera berhubung kelulusan projek PJD Link. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Wakil rakyat Taman Medan Dr Afif Bahardin bersetuju projek Lebuh Raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) dilaksanakan segera bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas meruncing di kawasan itu.

Turut menyatakan persetujuan mereka wakil penduduk dan pertubuhan dari Seksyen 1 hingga 10 Petaling Jaya selepas mendengar taklimat dengan pengurusan PJD Link diketuai ketua pegawai eksekutifnya Amrish Hari Narayanan, semalam.

Afif berkata, dalam perbincangan itu mereka telah diberi taklimat berhubung projek terbabit yang akan membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Taman Medan membabitkan Jalan Templer, Jalan Gasing, dan Jalan Penchala.

“Kami setuju projek ini perlu dan untuk 10 tahun ke depan bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas.

“Projek ini perlu segera dimulakan untuk selesaikan masalah kesesakan lalu lintas, saya harap kerajaan negeri dapat beri keputusan sama ada PJD Link diluluskan atau tidak,” katanya.

Dr Afif Bahardin dan wakil penduduk diberi taklimat oleh pengurusan PJD Link diketuai Amrish Hari Narayanan berhubung projek Lebuh Raya Petaling Jaya Dispersal Link, semalam.

Pertemuan itu turut dihadiri Persatuan Penduduk Seksyen 3, Rukun Tetangga Seksyen 3, Kelab Warga Emas (dari Seksyen 1-10), Persatuan Dialisis MJSAA, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam cawangan Petaling Jaya, Persatuan Penduduk Bandar Lama Petaling Jaya, dan Persatuan Penduduk Seksyen 4.

Pada 18 Mac, Gabungan Persatuan Penduduk Taman Medan mewakili 50,000 penduduk turut menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan PJD Link kerana memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat.

Mereka berharap projek itu dapat menyelesaikan isu kesesakan di Taman Medan dengan menyuraikan trafik, menaik taraf jalan raya serta infrastruktur di kawasan sekeliling selain meningkatkan kualiti kehidupan penduduk.

Mengikut perancangan, lebuh raya itu akan menghubungkan utara dan selatan Petaling Jaya melalui Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Bukit Jalil Technology Park.

Matlamat projek itu ialah mengurangkan kesesakan lalu lintas bagi pertumbuhan trafik masa depan di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Pada 24 Feb, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari meminta pemaju lebuh raya yang dicadangkan untuk merundingkan semula jajarannya dengan kerajaan persekutuan.

Beliau berkata, selepas PRN Ogos 2023, pentadbirannya menerima laporan penilaian impak sosial daripada PJD Link (M) Sdn Bhd yang mendedahkan penduduk Taman Medan dan Kinrara menyokong lebuh raya itu, tetapi penduduk di kawasan lain menolaknya.

Amirudin berkata, jika perubahan dibuat pada jajaran, pemaju perlu bermula dari awal termasuk berunding semula dengan Putrajaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.