Umno kembali ‘tunjuk belang’, kata Zaid

Umno kembali ‘tunjuk belang’, kata Zaid

Bekas menteri undang-undang itu berkata, Umno kini semakin berani buat perkara yang tidak dibolehkan bagi pihak lain.

Berada dalam kerajaan perpaduan, Umno umpama mendapat nafas baharu, kata bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim.
PETALING JAYA:
Umno kini semakin berani melakukan perkara yang dianggap tidak wajar atau menyalahi undang-undang disebabkan kedudukannya dalam kerajaan perpaduan, kata Zaid Ibrahim.

Memetik alasan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh memberi “duit raya” kepada anggota polis, Zaid dengan sinis berkata, “pemberilah yang menentukan definisi sesuatu hadiah”.

“Umno umpama dapat nafas baharu, buat perkara yang orang lain anggap tidak wajar atau haram. Siapa sangka, ‘kuasa agung’ politik yang sudah hampir hancur akan tunjuk belang semula?

“Hasil campur tangan dan bantuan hayat (daripada) … DAP, PKR, Amanah, Sabah dan Sarawak, Umno kini bersemangat kembali,” kata bekas menteri undang-undang itu.

Zaid berkata, PAS dan parti pembangkang lain mungkin tidak mampu bertindak seperti Umno.

“Peraturan kita diguna pakai berbeza, dengan perkara yang sama ditafsir pelbagai cara. (Tetapi kedudukan) Umno sentiasa istimewa. Kita tidak boleh kata, ‘Mengapa saya tak boleh buat (sesuatu) sedangkan Umno boleh?’.”

Akmal baru-baru ini mendapat kecaman selepas memuat naik video di media sosial menunjukkan dirinya mengagihkan “duit raya” kepada anggota polis di Jasin, Melaka.

Adun Merlimau itu menyifatkannya sebagai “sedekah” kepada pasukan polis dan anggota perkhidmatan awam setiap Ramadan untuk menunjukkan penghargaannya terhadap jasa mereka, satu amalan yang menurutnya telah dibuat sejak sebelum beliau menyertai dunia politik lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.