
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata demikian memandangkan sehingga kini polis dan Kementerian Dalam Negeri tidak mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan undang-undang yang digunakan bagi penahanan lelaki berusia 36 tahun itu.
“Tempoh tahanan panjang ini (tidak lebih 28 hari) sangat kritikal bagi membenarkan pihak polis mendapatkan maklumat dari agensi-agensi serta jabatan-jabatan lain bagi menyempurnakan siasatan melibatkan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang, turut mencadangkan kerajaan mengenakan sekatan masuk terhadap warga Israel menggunakan kerakyatan negara lain.
“Hal ini boleh dilakukan dengan semakan tempat pengeluaran pasport serta pangkalan data imigresen negara-negara lain.
“Kawalan keselamatan sempadan negara perlu diperketatkan bagi mengelak individu dipercayai merancang dan berniat melakukan keganasan di negara ini seperti mana yang disyaki keatas lelaki yang ditahan tersebut daripada masuk ke Malaysia,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata polis menahan lelaki Israel di sebuah hotel di Jalan Ampang.
Beliau berkata, suspek mendakwa membeli semua senjata api pelbagai model, termasuk Sig Sauer, Glock-27 dan Smith and Wesson menggunakan mata wang kripto ketika di Malaysia.
Katanya, suspek mendakwa menyasarkan seorang lagi rakyat Israel di negara ini atas alasan pertelingkahan keluarga, tetapi beliau tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai “agenda lain”.