
Ketua Dewan Ulama Pusat Ahmad Yahya berkata parti itu juga tidak menyokong perbuatan mempersendakan kalimah Allah.
Beliau berkata, isu boikot KK Mart itu tidak boleh disamakan dengan gerakan menolak entiti perniagaan milik Israel.
“Oleh itu, PAS tidak ambil pendekatan untuk boikot. Kalau melihat ucapan atau ulasan daripada pemimpin PAS, tiada seorang pun pemimpin kami yang minta memboikot KK Mart.
“Cuma pimpinan PAS mahu tindakan tegas dikenakan kepada orang yang bertanggungjawab. Kalau sudah ada tindakan, saya yakin isu ini akan reda,” katanya menurut Sinar Harian di Ampang.
Pada 19 Mac, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menggesa umat Islam boikot KK Super Mart susulan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di sebuah cawangan kedai serbaneka itu, di Bandar Sunway.
Adun Merlimau itu berkata, tindakan memboikot itu tidak melibatkan isu 3R, sebaliknya untuk mempertahankan kesucian agama Islam yang dihina.
Mengulas lanjut, Ahmad juga tidak menolak terdapat kemungkinan wujud “tangan ghaib” sengaja cetus isu perkauman dan agama berhubung kalimah Allah.
“Kami tidak menolak mungkin wujud tangan ghaib dalam isu KK Mart ini dan ada pihak yang cuba cetuskan masalah,” katanya.