
Katanya, laporan memetik sumber itu sama sekali tidak tepat, sambil menegaskan tiada sebarang surat dihantar kepada badan induk itu.
“Selepas membaca laporan berita tersebut, saya terus menghubungi Presiden FAM Hamidin Amin bagi menjelaskan mengenai perkara ini dan saya sendiri telah memberi jaminan kepada beliau bahawa misi saya bersama skuad Harimau Malaya belum berakhir.
“…dan saya tidak akan meninggalkan pasukan ini begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan.
Pan Gon turut memberi jaminan kepada semua penyokong Harimau Malaya akan komitmennya membimbing skuad negara sehingga kontrak berakhir pada hujung 2025.
Katanya, misi utamanya untuk membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak automatik ke Piala Asia 2027.
Terdahulu, Bernama memetik sumber melaporkan Pan Gon dan barisan kejurulatihannya dikhabarkan kecewa dengan situasi melanda skuad kebangsaan sehingga bersedia sekiranya terpaksa meninggalkan pasukan negara.
Memetik sumber itu sebagai berkata, pengendali berusia 54 tahun itu dan barisan kejurulatihannya juga hanya meminta bayaran gaji selama tiga bulan sebagai pampasan jika ‘berpisah’ dalam masa terdekat.
Baru-baru ini Malaysia mengalami dua kekalahan berturut-turut 0-2 kepada Oman pada saingan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 sekali gus mengalami prestasi tidak menentu sejak saingan Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu.