
Beliau berkata pada Februari, kes kebakaran terbuka direkodkan 5,556 kes iaitu peningkatan lebih enam kali ganda atau 645%, berbanding 746 kes direkodkan pada Januari.
Nga berkata, antara negeri mengalami peningkatan tertinggi adalah Kedah dengan 741 kes, Selangor (661 kes), Johor (505 kes), dan Sabah sebanyak 534 kes.
“Malaysia kini berada dalam fasa cuaca panas dan kering melampau dan dijangka memberikan impak kepada peningkatan signifikan bagi kes-kes kebakaran terbuka melibatkan hutan, ladang, belukar, dan api sampah.
“Lonjakan kes kebakaran terbuka meningkat mendadak terutamanya di Selangor, Negeri Sembilan, negeri-negeri di utara seperti Kedah, Perlis dan Pulau Pinang serta Sabah dan Sarawak,” katanya ketika melancarkan Op Siaga Raya Aidilfitri 2024 di sebuah pusat beli-belah.
Turut hadir Ketua Pengarah Bomba Nor Hisham Mohammad.
Sementara itu, pada sidang media Nga berkata negara merekodkan RM2.62 bilion kerugian kebakaran sepanjang tahun lalu merangkumi pelbagai jenis insiden kebakaran berskala besar dan domestik.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai tidak sewenang-wenangnya melakukan pembakaran terbuka baik bagi pelupusan sampah ataupun untuk tujuan pertanian pada musim kemarau ini.
Nga berkata sehingga kini, JBPM telah mengenal pasti 652 kawasan titik panas yang berisiko berlaku kes kebakaran terbuka dengan lokasi tumpuan termasuklah tanah gambut, tapak pelupusan sampah haram dan tapak pelupusan sampah yang diselia oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Terdahulu, Nga menyerahkan lima unit pertama jentera kompak (compact fire rescue tender CFRT) kepada bomba bagi memastikan kesiapsiagaan jentera dan pesawat serta kesiapsiagaan keanggotaan serta logistik mencukupi.
Op Siaga bertujuan menyusun strategi awal bagi persediaan dan kesiapsiagaan menghadapi insiden kecemasan yang mungkin berlaku sepanjang musim perayaan.