Suami isteri, 2 lelaki didakwa perdagang wanita Malaysia di Peru

Suami isteri, 2 lelaki didakwa perdagang wanita Malaysia di Peru

Tertuduh mengaku tidak bersalah perdagang dua wanita di negara Amerika Selatan itu.

Semua tertuduh didakwa perdagang dua wanita berusia 19 dan 25 tahun di sebuah rumah di La Laguna, La Planicie, La Molina, Peru pada 7 Okt 2023.   (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Suami isteri dan dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memperdagang dua wanita Malaysia di Peru.

Gan Zhang Gui, 37, Cham Li Na, 34, Mohd Ismail Aiman Muhamad Radhuan, 26, dan Lim Chin Hock, 37, bersama-sama Tony yang masih dalam tahanan pihak berkuasa Peru, didakwa memperdagang dua wanita berusia 19 dan 25 tahun di sebuah rumah di La Laguna, La Planicie, La Molina, Peru pada 7 Okt 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Hakim Azura Alwi membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 20 Mei untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anas Bashari memaklumkan mahkamah bahawa pendakwaan tidak menawarkan jaminan namun jika mahkamah menggunakan budi bicara bagi membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin, beliau mencadangkan jumlah yang tinggi dikenakan terhadap mereka.

Peguam Hafizatul Shahirah Jamari, yang mewakili Lim dan Gan, memohon jumlah rendah atas alasan mereka menanggung keluarga manakala peguam Ikram Ibrahim, yang mewakili Cham dan Mohd Ismail Aiman, pula memohon jaminan RM5,000.

Difahamkan semua tertuduh ditahan polis Peru dan dihantar pulang ke Malaysia untuk siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.