
Namun, masalah kesihatan dan kewangan yang menyelubungi mereka tidak selalunya dilaporkan dengan meluas.
Mereka ialah penghibur dan atlet yang memaut hati rakyat Malaysia menerusi bakat mereka, malah turut menjadi sumber inspirasi bagi sesiapa yang turut ingin mengecapi kemasyhuran.
Malangnya, ramai antara mereka akan berdepan sambutan Aidilfitri yang suram, sehinggalah seorang dermawan yang tidak didedahkan namanya berganding bahu bersama FMT untuk menyumbang RM1,000 kepada 100 artis dan atlet.
Semalam, 50 ahli Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menikmati sedikit sinar Aidilfitri pada satu majlis Ramadan yang menghimpunkan kira-kira 200 orang di Hotel Parkroyal.
Antara penerimanya termasuk artis legenda Hail Amir; Uji Rashid; Norlia Ghani; Zaiton Sameon; Shima; Ali XPDC; Zaleha Hamid; Sophia Ibrahim; S Atan dan Shuib (Freedom).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali turut menyerikan majlis sebagai tetamu kehormat, sementara kehadiran artis lain seperti Farahdhiya; Khadijah Ibrahim; Radhi Khalid; Rozita Rohaizad; Ezlynn; Norshila Amin dan Haiza turut memeriahkan suasana.

Pada 4 April, 50 ahli Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) akan turut menerima sumbangan dalam satu lagi majlis Ramadan di Hotel Concorde.
Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan mencemar duli menghadiri acara itu.
‘Bukan sekadar tugas malah suatu penghormatan’
Pengarah Urusan FMT Azeem Abu Bakar berkata, portal media itu berdedikasi menyokong dan meraikan komuniti seni dan sukan.

Menurutnya, FMT bermula dengan pasukan kecil yang mengharungi pelbagai cabaran sebelum berjaya menjadi antara organisasi media terunggul negara ini.
“Hari ini, FMT memperoleh lebih enam juta pembaca sebulan, dengan lebih 33% ‘share of voice’ dalam talian yang membuktikan kepercayaan serta sokongan pembaca,” katanya.
“Kepercayaan ini, dan platform FMT yang berpengaruh, mendorong kami bertindak dengan bertanggungjawab dan menyumbang secara positif kepada masyarakat, termasuk dalam sektor seni dan sukan.
Azeem berkata, keupayaan FMT menyumbangkan RM100,000 itu hasil kemurahan hati dermawan berkenaan, seterusnya “membolehkan kami meluaskan komitmen terhadap industri seni dan sukan.”

Katanya, memberikan sokongan kepada golongan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara adalah sesuatu yang amat memuaskan bagi penyumbang.
Katanya, dedikasi FMT bukan sekadar dalam mengetengahkan cabaran dihadapi artis dan atlet, malah ia komited untuk menambah baik kesejahteraan hidup mereka.
“Meraikan dan menyokong mereka bukan sekadar suatu kewajipan, malah suatu penghormatan,” katanya.
“(Langkah ini) mengiktiraf persamaan yang turut dikongsi FMT dalam penciptaan kandungan – sesuatu yang amat mencabar namun penting dalam membentuk masyarakat.

“Seperti golongan artis, FMT turut faham usaha yang dicurahkan dalam membentuk dan menghasilkan kandungan kreatif, proses yang dipenuhi pelbagai dugaan namun penting demi menyuntik semangat dan pengisian dalam masyarakat.
“Sokongan berterusan FMT terhadap artis tempatan tidak goyah dan dapat dilihat menerusi inisiatif seperti kolaborasi baru-baru ini bersama Persatuan Pembangunan Artisan, yang berjaya mengumpul hasil RM1 juta,” katanya.
Katanya lagi, tanggungjawab menaikkan industri seni dan sukan bukan sekadar terletak pada FMT.
“Saluran media lain patut turut terlibat dalam usaha penting ini untuk memastikan pertumbuhan dan kelestarian kedua-dua industri,” katanya.