
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata, pihaknya tidak menafikan kemungkinan tersebut, selain disyaki wujud penglibatan pegawai polis yang lebih senior.
“Boleh jadi, kami sedang menyiasat hal itu,” katanya ketika ditanya sama ada kes turut melibatkan pegawai kanan senior.
Azam berkata, fokus siasatan ketika ini adalah berhubung jumlah wang yang diterima pegawai polis tersebut dan pemberi suapan.
Sebelum ini, SPRM menahan seorang pegawai kanan polis dipercayai terbabit dengan rasuah bagi melindungi kegiatan haram di sekitar Kuala Lumpur.
Lelaki berusia 40-an itu disyaki menerima suapan tunai daripada sindiket antara 2021 hingga 2024 sebagai balasan melindungi kegiatan haram melibatkan perjudian, maksiat dan gangsterisme di sekitar Kuala Lumpur.
Hasil penahanan suspek, SPRM turut menemukan sejumlah wang bernilai lebih RM1.2 juta hasil serbuan di beberapa premis milik suspek.