Karyawan rayu akhiri kemelut royalti muzik

Karyawan rayu akhiri kemelut royalti muzik

Pertikaian yang berpanjangan berhubung isu royalti suatu 'ketidakadilan' bagi artis, kata Presiden Karyawan Freddie Fernandez.

Presiden Karyawan Freddie Fernandez berkata, ramai artis tidak menerima bayaran royalti atas pelbagai sebab.
KUALA LUMPUR:
Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menegaskan permintaannya agar kerajaan menyelesaikan isu royalti muzik yang telah berlarutan selama berpuluh tahun.

Presidennya Freddie Fernandez menyifatkan pertikaian yang berpanjangan itu sebagai “ketidakadilan” bagi artis.

Menurutnya, ramai artis tidak menerima bayaran royalti setiap tahun atas pelbagai sebab.

“Kami telah cuba hampir semua cara yang mungkin untuk memperjuangkan hak artis sejak 24 tahun lalu, tetapi semua usaha kami gagal,” katanya.

Fernandez berkata demikian pada sebuah majlis Ramadan malam tadi, di mana 50 artis menerima RM1,000 setiap seorang untuk meringankan beban kewangan mereka pada Aidilfitri bulan depan.

Bantuan RM50,000 kepada Karyawan itu diwujudkan melalui inisiatif antara FMT dan seorang dermawan yang namanya tidak didedahkan.

Sumbangan disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali, yang kementeriannya bertanggungjawab bagi hak cipta dan royalti muzik.

Fernandez mencadangkan agar sebuah jawatankuasa ditubuhkan, diketuai oleh Armizan dan hanya dianggotai komposer dan artis, untuk menangani masalah berhubung royalti.

Beliau berkata, ramai artis masih keliru dengan keseluruhan situasi ini ekoran kerumitan masalah yang dihadapi, manakala kebanyakannya tidak tahu hak mereka.

“Malah mereka yang faham pun telah berputus asa apabila kerajaan berturut-turut gagal berbuat apa-apa untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Fernandez yakin, bawah pimpinan Armizan, “kita akan lihat perubahan dan inovasi dalam pengurusan royalti muzik.”

“Saya menunggu harinya apabila artis dan pencipta boleh menarik nafas lega,” tambahnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara hidup Armizan Mohd Ali menyampaikan sumbangan kepada salah seorang artis pada majlis malam tadi.

Perjanjian royalti berat sebelah

Fernandez berkata, prinsip hak cipta mengikut Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) memberikan ganjaran kepada pencipta.

Katanya, pencipta – sama ada komposer, penulis lirik, penyanyi dan pemuzik – harus diberi pertimbangan paling utama dalam isu hak cipta, “tetapi di Malaysia, ini tidak berlaku.”

“Kuasa tawar-menawar yang tidak sama rata menyebabkan kontrak royalti sangat memihak kepada penerbit muzik dan syarikat rakaman, justeru komposer dan pencipta dibayar sangat sedikit atau tidak dibayar langsung,” kata Fernandez.

Beliau berkata, agensi kerajaan yang bertanggungjawab ke atas hak cipta gagal memahami bahawa isu ini perlu diberi keutamaan untuk diselesaikan.

Keadaan ini menyebabkan artis terus “menderita”, apabila lima kerajaan dalam tempoh lima tahun juga tidak membantu, tambahnya.

“Kami tidak nafikan hak penerbit muzik dan syarikat rakaman terhadap sebahagian royalti. Kami mahukan pengagihan hasil yang lebih saksama.

“Kami perlu kementerian menyumbang suara menyokong penghibur yang sedang bergelut,” kata Fernandez.

Kelantangan Fernandez dalam isu ini selama lebih dua dekad telah menyebabkan beliau berdepan masalah undang-undang apabila disaman sebanyak empat kali.

Pada Mei, kes yang difailkan oleh syarikat rakaman terhadapnya akan dibicarakan.

Pelawak Imuda (berbaju biru) dan Jaafar Onn (berbaju merah jambu) pada majlis malam tadi.

‘Terus jadi rakan strategik’

Sementara itu, dalam ucapan terima kasihnya kepada FMT dan dermawan itu, Fernandez berkata: “Kami berharap anda akan terus menjadi rakan strategik kami dalam memperjuangkan hak dan kepentingan artis dan seluruh industri seni.”

Beliau berkata, FMT sentiasa membangkitkan isu membabitkan industri hiburan, dan “selalunya berjaya mendapatkan pihak berkuasa mengatasi masalah-masalah”.

“Kami berterima kasih atas sokongan besar yang diberikan oleh FMT dan mengharapkan lebih banyak kerjasama sebegini, terutamanya untuk tujuan yang murni seperti kebajikan artis dan perlindungan hak mereka,” katanya.

Beliau berkata, Karyawan tidak menerima sebarang peruntukan mahupun dana tetap daripada kerajaan dan terpaksa bekerja keras untuk mengumpul dana.

“Bukan semua yang diusahakan dapat kami jayakan. Satu perkara yang kami gagal selesaikan ialah isu royalti persembahan awam untuk artis,” akuinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.