Wan Saiful tuntut Bernama turunkan artikel ‘fitnah’

Wan Saiful tuntut Bernama turunkan artikel ‘fitnah’

Ahli Parlimen Bersatu itu juga mahu Bernama menerbitkan permohonan maaf bertulis di platformnya dan membayar ganti rugi atas artikel daripada perbicaraan rasuahnya.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan didakwa meminta rasuah untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek persimpangan lebuh raya bernilai RM232 juta. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan telah menuntut agensi berita nasional Bernama menurunkan artikel berhubung perbicaraannya yang didakwa berunsur fitnah.

Wan Saiful juga mahu Bernama menyiarkan permohonan maaf bertulis di platformnya dan membayar ganti rugi am dan teruk.

Artikel itu bertajuk: “Syarikat Dibantu Wan Saiful Peroleh Penarafan Empat Bintang, Mahkamah Diberitahu”.

Firma guaman Ahli Parlimen Bersatu itu, Chetan Jethwani, berhujah bahawa artikel itu, yang diterbitkan semula oleh beberapa saluran berita, memberi tanggapan yang salah terhadap anak guamnya.

“Pelanggan kami berpendirian bahawa dia tidak memberikan sebarang bantuan atau membantu syarikat terbabit untuk mendapatkan penarafan empat bintang daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

“Kami menegaskan bahawa tajuk artikel itu adalah salah nyata bukti yang dikemukakan semasa prosiding perbicaraan, kerana tiada bukti sedemikian pernah dikemukakan untuk menunjukkan bantuan yang sepatutnya diberikan oleh anak guam kami dalam mendapatkan penarafan daripada CIDB,” kata firma itu.

Firma guaman itu turut meminta Bernama mendedahkan identiti wartawan yang menulis artikel itu.

Ia memberi amaran bahawa tindakan undang-undang terhadap Bernama dan kerajaan akan dimulakan jika agensi berita di bawah Kementerian Komunikasi itu gagal mematuhi tuntutannya dalam tempoh 24 jam.

“Anak guam kami menegaskan bahawa dia berhak mendapat anggapan tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah undang-undang.”

Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang bernilai RM232 juta.

Bekas ketua penerangan Bersatu itu turut didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Pada Selasa, Bernama memetik Penolong Jurutera CIDB Siti Nooraishah Zainal Abidin, 36, yang berkata satu surat atas nama Nepturis Sdn Bhd dikeluarkan daripada Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu (CIMS) CIDB selepas syarikat berkenaan membuat permohonan Program Penilaian Keupayaan dan Kemampuan Kontraktor (SCORE).

Katanya, hasil semakan semula terhadap dokumen yang telah dimuat naik syarikat Nepturis mendapati syarikat berkenaan telah memperolehi penarafan empat bintang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.