
Mengulas cadangan Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau, Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berpendapat perbelanjaan besar diperlukan untuk membangunkan semula potensi pulau itu yang pernah dicadangkan sebagai pusat kewangan luar pesisir sepenuhnya serta hab minyak dan gas.
Menurutnya, pentadbiran Sabah pula pada masa sama berdepan banyak masalah seperti kemudahan asas seperti air, elektrik serta jalan raya yang masih belum memuaskan.
“Kita jangan semberono meminta semula Labuan, kita perlu semak dan lihat semula kekuatan kita (Sabah) dari segi kewangan dan sumber manusia untuk menguruskan Labuan sama ada bersedia atau tidak.
“Saya sedikit skeptikal terhadap keupayaan Sabah ketika rakyat masih berdepan isu air, elektrik, jalan raya… jadi mengapa tidak kita usaha untuk selesaikan dahulu masalah itu,” katanya kepada FMT.
“Isu Pan Borneo pun sehingga sekarang tak selesai apa lagi untuk menambah beban Sabah ini. Kalau belum (bersedia) lebih baik tidak, kerana banyak perkara harus difikirkan ketika pulau itu semakin kecil potensinya.”
Selasa lalu, Tangau yang juga bekas presiden Upko pada sidang Dewan Rakyat menggesa Labuan dikembalikan kepada Sabah sekiranya persekutuan gagal memajukan pulau berkenaan.
Beliau mendakwa kadar pengangguran Labuan masih tinggi walaupun sudah lama diserahkan kepada kerajaan pusat pada 1984 sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan selain Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata isu penyerahan Labuan kepada mana-mana pihak tidak berbangkit.
Dalam pada itu, Romzi berpendapat gesaan berkenaan jika dilihat dari sudut politik, ia mungkin akan menguntungkan pemimpin parti termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim jika direalisasikan kerana membabitkan sentimen rakyat Sabah.
“Menjelang pilihan raya timbul banyak tuntutan seperti itu selain pembinaan jambatan menghubungkan tanah besar itu dengan Labuan dan kemerosotan aktiviti ekonomi di Labuan.
“Jadi ia mungkin boleh menjadi satu tindakan populis dan boleh mempopularkan (Anwar) jika diambil kerajaan. Kalau itu tindakan diambil Anwar semestinya rakyat Sabah gembira sekali gus menguatkan cengkaman politik beliau,” katanya.
Felo Majlis Profesor Jeniri Amir pula berpendapat sebarang keputusan mengembalikan pentadbiran Labuan kepada Sabah harus disokong kepada fakta pulau itu terbelakang di bawah kerajaan persekutuan.
“Kalau betul tidak diberi tumpuan, ia harus ditingkatkan dan fikir strategi terbaik untuk pastikan Labuan tidak berada di belakang serta berjaya menarik pelabur,” katanya.