
Abang Johari berkata rakyat Sarawak mempersoalkan keperluan menyediakan maklumat peribadi yang meluas ketika mendaftar di Padu, lapor Borneo Post.
“Sekiranya maklumat yang luas didedahkan tanpa kaitan dengan hal kewangan … kami tidak melihat sebarang justifikasi untuk memperoleh butiran mendalam sedemikian,” katanya.
Abang Johari juga berkata perlu ada had yang dikenakan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi untuk melindungi maklumat peribadi, memastikan selaras dengan peruntukan perlembagaan yang melindungi kebebasan.
“Anda mempunyai hak untuk tidak mendedahkan butiran peribadi. Tetapi jika ia berkaitan dengan pendapatan dan juga keadaan ekonomi, sudah tentu data itu lebih relevan,” katanya.
Minggu lalu, pegawai pentadbiran Sarawak di bahagian Sri Aman dan Sibu diarahkan untuk tidak mendaftarkan maklumat penduduk di Pangkalan Data Utama (Padu) sehingga diberitahu.
Residen Sri Aman Abang Porkan Abang Budiman mengeluarkan arahan itu dalam satu memorandom rasmi kepada pegawai daerah dan pentadbiran di bahagian itu, lapor Borneo Post.
Pegawai daerah juga diminta memanjangkan arahan itu kepada semua ketua masyarakat, ketua kaum, dan ketua kampung di bawah pentadbiran mereka.
Pada Selasa, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata pegawainya akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak minggu depan untuk membincangkan isu yang melibatkan pendaftaran Padu.
Bagaimanapun, Abang Johari berkata beliau belum menerima maklumat terperinci mengenai mesyuarat itu, kecuali Setiausaha Kerajaan Negeri Amar Abu Bakar Marzuki mengesahkan lawatan Rafizi ke Sarawak untuk perkara itu.
“Ia bergantung kepada bila delegasi daripada Kementerian Ekonomi akan datang kerana sudah tentu Rafizi ingin tahu lebih lanjut mengapa kami meminta Padu ditangguhkan,” katanya.
“Kami juga ingin mendapatkan maklumat lain (mengenai sistem Padu ini), terutamanya mengenai privasi.”