Muhyiddin fail semakan ketepi keputusan Mahkamah Rayuan berkait pembebasan

Muhyiddin fail semakan ketepi keputusan Mahkamah Rayuan berkait pembebasan

Bekas perdana menteri itu berkata, keputusan Mahkamah Rayuan pada 28 Feb lalu terbatal dan/atau tidak sah kerana dibuat tanpa bidang kuasa.

Muhyiddin Yassin memohon Mahkamah Rayuan menggunakan kuasanya di bawah Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994 untuk mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin memfailkan permohonan semakan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membatalkan pembebasannya, selepas mendapati empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya jelas di sisi undang-undang.

Peguam cara Chetan Jethwani & Company memfailkan usul itu di pejabat pendaftaran Mahkamah Rayuan dengan afidavit sokongan yang disahkan Muhyiddin semalam.

Pada dasarnya, beliau berkata, keputusan Mahkamah Rayuan terbatal dan/atau tidak sah kerana dibuat tanpa bidang kuasa di bawah Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Salinan kertas kausa sudah diserahkan kepada pihak pendakwaan.

Usul itu menyatakan kebenaran perlu diberikan di bawah Kaedah 105 Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994 untuk menyemak semula keputusan pada 28 Feb lalu.

Presiden Bersatu itu turut meminta Mahkamah Rayuan menggunakan kuasanya di bawah peraturan itu demi kepentingan keadilan serta mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 28 Feb lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Hadhariah Syed Ismail, dalam membenarkan rayuan pihak pendakwaan, berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang kerana berpendapat pertuduhan itu cacat.

“Pertuduhan itu jelas. Oleh itu, tiada keperluan bagi pihak pendakwaan untuk menyatakan cara atau memberikan butiran lanjut bagaimana kesalahan itu dilakukan,” kata Hadhariah dalam membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Beliau dilaporkan berkata, panel hakim juga mendapati tiada merit dalam hujah Muhyiddin bahawa Bersatu tidak termasuk dalam takrifan “bersekutu” mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Mahkamah Rayuan berkata, parti itu sebagai pertubuhan politik, termasuk dalam definisi itu.

“Kami bersetuju dengan perayu (pendakwaan) bahawa hakim terkhilaf dari segi undang-undang (dalam memutuskan) pertuduhan itu tidak mendedahkan sebarang kesalahan yang diketahui undang-undang.”

Turut bersidang mendengar rayuan itu ialah Hakim Azmi Ariffin dan Komathy Suppiah.

Muhyiddin didakwa pada Mac 2023 atas pertuduhan salah guna kuasa sebagai perdana menteri antara 8 Feb dan 20 Ogos 2021 berhubung program Jana Wibawa bagi mendapatkan RM232.5 juta untuk Bersatu.

Beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi pada 10 Mac.

Pada 1 Mac, Ahli Parlimen Pagoh itu turut memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan. Ini mungkin ditarik balik susulan permohonan semakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.