
Katanya, dinamik politik yang kadangkala berubah akan menjadi pertimbangannya.
“Tengok keadaan. Kalau masih diperlukan saya bertanding. Kalau saya nampak dinamik (Bersatu) tak memerlukan orang lama dan saya kena tahu sama ada perlu bersara atau tidak,” katanya kepada FMT.
Bersatu dijangka mengadakan pemilihan MPT dan bahagian tahun ini dengan tumpuan kepada kerusi presiden serta timbalan, yang akan membayangkan calon perdana menteri Perikatan Nasional (PN), seperti ketika PRU15 apabila Muhyiddin Yassin dicalonkan ke jawatan itu sesuai statusnya sebagai pengerusi PN.
Sebelum ini, timbul cakap-cakap Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin disebut-sebut antara calon utama mengisi kerusi nombor satu parti jika Muhyiddin memutuskan tidak bertanding pada pemilihan akan datang.
Ketika Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu November lalu, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan disandangnya tetapi mengubah pendirian dalam tempoh kurang 24 jam.
Pada 26 Mac, FMT melaporkan Ahmad Faizal Azumu mengesahkan tidak akan mencabar jawatan presiden pada pemilihan Bersatu, namun belum memberi “bayangan jelas” sama ada mahu mempertahankan kedudukan orang nombor dua parti.
Sementara itu, Redzuan berkata secara peribadi Bersatu perlu menguatkan parti terutama daripada asas perjuangannya sendiri.
“Biar akar umbi dan ahli bentuk pucuk pimpinan parti. Bila ada pertalian senang akar umbi nak faham perjuangan parti.
“Kalau tangkap muat, contohnya ada susunan tertentu dan tak sampai ke akar umbi (akan) menjadi cabaran dari segi membina kekuatan parti,” katanya berharap pemilihan Bersatu dijalankan dengan bersih.