Gangguan elektrik, IOI City Mall Putrajaya tutup hari ini

Gangguan elektrik, IOI City Mall Putrajaya tutup hari ini

Pusat beli-belah itu berkata TNB sedang mengenal pasti masalah yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik sejak pagi tadi.

Gangguan bekalan elektrik sejak pagi tadi menyebabkan pusat beli-belah IOI City Mall Putrajaya terpaksa menutup operasinya hari ini. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Pusat beli-belah IOI City Mall di Putrajaya terpaksa ditutup hari ini susulan gangguan bekalan elektrik yang berlaku sejak pagi tadi.

IOI City Mall dalam  kenyataan di Facebook berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang mengenal pasti beberapa masalah dan kerosakan yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik itu.

“Bagaimanapun, TNB tidak dapat memberi jaminan bila bekalan elektrik dapat dipulihkan susulan isu kerosakan yang kompleks.

“Oleh sebab itu, demi kepentingan semua penyewa premis dan pelanggan, pasar raya kami tidak dapat beroperasi hari ini,” katanya.

Sementara itu, TNB dalam hantaran di X berkata, setakat 4 petang tadi pihaknya masih menjalankan kerja baik pulih kabel yang mengganggu bekalan elektrik ke IOI City Mall.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memaklumkan bila kerja itu akan selesai dan bekalan elektrik ke pusat membeli-belah popular itu dapat dipulihkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.