Faktor suhu ubur-ubur terdampar di pantai Kuala Penyu

Faktor suhu ubur-ubur terdampar di pantai Kuala Penyu

Kejadian itu juga berkait rapat dengan kewujudan sumber makanan zooplankton, krustasea kecil dan anak ikan di laut.

Tangkap layar video tular menunjukkan ubur-ubur terdampar di pantai Kampung Jangkit dekat Kuala Penyu, Kota Kinabalu, semalam.
KOTA KINABALU:
Fenomena ribuan ubur-ubur terdampar di pesisir pantai Kampung Jangkit dekat Kuala Penyu, semalam, yang tular di media sosial berkait rapat faktor peningkatan suhu air laut serta pasang dan surut air yang mendadak, kata Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Azhar Kassim.

Beliau berkata, kepadatan luar biasa populasi ubur-ubur, berlaku disebabkan peningkatan kadar pembiakannya susulan peningkatan suhu laut, sementara faktor pasang dan surut air yang mendadak menyebabkan haiwan itu terperangkap dan terdampar di tepi pantai.

“Kejadian itu juga berkait rapat dengan kewujudan sumber makanan zooplankton, krustasea kecil dan anak ikan di laut.

“Jabatan Perikanan Sabah telah menghantar anggota dari pejabat Kuala Penyu ke kawasan kejadian, untuk memantau dan menyiasat damparan ubur-ubur yang begitu luar biasa dan padat,” katanya dalam kenyataan.

Azhar berkata, pihaknya mengenal pasti jenis ubur-ubur yang terdampar kira-kira 3km di pesisir pantai itu sebagai tomato jellyfish atau nama saintifiknya Lobonemoides robustus dan ia bukan jenis berbisa atau merbahaya, namun boleh memberi kesan gatal di badan jika tersentuh kulit.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu terlalu risau, kerana ubur-ubur itu mudah mati dan hancur serta hanya mengakibatkan bau tidak selesa, namun ia akan cepat hilang dalam sehari atau dua hari.

Katanya, orang ramai diminta mengelakkan mandi di kawasan perairan dengan populasi ubur-ubur yang tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.