Zaid bidas cadangan Perkasa boikot Petronas

Zaid bidas cadangan Perkasa boikot Petronas

Bekas menteri undang-undang itu berkata, orang Melayu perlu mula menyokong parti politik dengan agenda ekonomi progresif dan radikal yang membantu mereka.

Zaid Ibrahim berkata kontraktor baharu Petronas, Solarvest, mempunyai dana dan cara untuk bersaing atas meritnya, justeru ia tidak begitu memerlukan dana kerajaan. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim membidas cadangan Perkasa memboikot Petronas susulan langkah gergasi minyak dan gas itu melantik syarikat bukan Bumiputera untuk kontrak pemasangan panel solar.

“Orang Melayu boleh memboikot parti politik Melayu dan pemimpin yang tidak berbuat apa-apa untuk membantu orang Melayu berjaya,” katanya di X sambil menambah model ekonomi itu perlu diubah.

Beliau berkata, kontraktor baharu Petronas, Solarvest hanya memerlukan sedikit dana kerajaan kerana ia mempunyai kemampuan dan cara untuk bersaing berdasarkan meritnya disebabkan tiada saingan berkesan daripada syarikat Melayu dalam pasaran ini.

Katanya, ini merupakan masalah bersejarah, seperti yang dihadapi bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob dalam cubaannya untuk memperkasakan orang Melayu dengan rangkaian pusat beli-belah Mara.

“Orang Melayu dijangka mampu bersaing dan mendapat kontrak secara merit, tetapi komponen dalam rantaian bekalan dan persekitaran perniagaan bukan di bawah kawalan mereka.

“Dengan status quo itu, kontraktor dan pembekal Melayu tidak dapat bersaing secara merit. Apakah perniagaan yang boleh diusahakan orang Melayu dengan berjaya sekarang?

“Bagaimana anda memutuskan rantaian itu dan memberi peluang kepada orang Melayu untuk berjaya secara merit? Kita mulakan dengan menyokong parti Melayu yang mempunyai agenda ekonomi progresif dan radikal,” katanya sambil menambah malangnya, tiada parti sedemikian wujud ketika ini.

“Pemimpin kita belum mengumumkan transformasi radikal ke atas dasar ekonomi kita. Mereka selesa di bawah sistem sedia ada.

“Malang yang menimpa orang Melayu ialah tuan politik mereka tidak berminat dengan ekonomi. Mereka tidak berminat menghapuskan monopoli. Mereka hanya berminat dengan stoking dan boikot.”

Zaid turut menggesa langkah menasionalisasikan industri pada 1970-an dilaksanakan semula kerana langkah penswastaan telah lama menjejaskan orang Melayu.

“Simen, kemudahan pembuatan lain dan pelaburan strategik dalam teknologi perlu kekal di tangan kerajaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.