
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf berkata scammer tersebut akan menyamar sebagai pegawai syarikat kurier dengan menghubungi mangsa berpotensi, memaklumkan mereka mempunyai pakej tidak dituntut.
“Pemanggil kemudian akan menyambung panggilan kepada scammer menyamar sebagai polis menerusi panggilan video, yang mana mangsa akan diyakinkan membuat laporan polis secara dalam talian dan berinteraksi dengan pegawai polis palsu berlatarkan gambar seolah-olah keadaan di balai polis,” katanya pada sidang media di Menara KPJ.
Mangsa seterusnya akan dimaklumkan mereka sedang disiasat kononnya terlibat jenayah seperti pengubahan wang dan diminta membuka akaun baharu bank, termasuk diarah memindah semua wang dalam akaun berkenaan.
Mangsa juga diminta mendedahkan perincian log masuk, yang mana selepas itu scammer akan melesapkan wang.
Ramli berkata, polis menerima 34 laporan berkaitan modus operandi sama tahun lalu melibatkan kerugian RM1.01 juta, manakala 14 laporan polis diterima tahun ini dengan nilai kerugian RM960,500.
Beliau menasihatkan orang ramai berwaspada dan menegaskan polis tidak pernah menerima laporan atau mengadakan siasatan menerusi panggilan video, sambil menambah jika siasatan dilakukan secara bersemuka di balai polis.
Dalam pada itu, Ramli berkata satu sindiket menggunakan akaun keldai di Singapura bagi mengalihkan hasil haram penipuan pusat panggilan berjaya ditumpaskan dalam serbuan, baru-baru ini, dengan polis merampas 13 telefon bimbit, dua komputer riba, dua router, dan set kunci rumah termasuk Toyota Supra.
Tiga lelaki dan dua wanita berusia 24 hingga 28 tahun diberkas dalam serbuan pada 19 Mac. Kes disiasat di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan kerana konspirasi jenayah.