
Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang menjadi pengarah dari 2011 hingga 2012, berkata CEO ketika itu Nik Faisal Ariff Kamil, diberi tanggungjawab menguruskan pinjaman itu.
“Kami (pengarah) diberi taklimat oleh Nik Faisal mengenai perkembangan pinjaman. Apabila beliau memberitahu kami akan mendapatkan pinjaman, peristiwa seterusnya mengesahkan apa yang beliau katakan,” katanya.
“Ia sungguh menakjubkan betapa cepatnya (pinjaman itu) dirundingkan dan disalurkan,” katanya.
Mahkamah diberitahu KWAP memberi pinjaman kepada SRC International RM4 bilion antara 2011 dan 2012.
RM2 bilion pertama disalurkan kurang dari sebulan selepas syarikat memohon pinjaman dan RM2 bilion yang selebihnya disalurkan kepada SRC International sebelum dipinta syarikat itu.
Sebahagian besar daripada pinjaman itu, mencecah RM3.6 bilion, dipindahkan ke satu akaun bank Switzerland dan kini dibekukan oleh kerajaan Switzerland.
SRC International memfailkan saman terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan Nik Faisal atas dakwaan bersubahat dan melakukan pecah amanah jenayah; dan Najib didakwa salah guna kuasa, dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.
Saman itu pada asalnya turut menamakan Shahrol dan bekas ahli lembaga pengarah yang lain iaitu Ismee Ismail, Azhar Osman Khairuddin, Suboh Yasin dan Che Abdullah @ Rashidi Che Omar sebagai defenden bersama.
SRC International kemudiannya mengugurkan nama mereka. Bagaimanapun, Najib memasukkan mereka sebagai pihak ketiga.
Sementara itu, Shahrol juga memberitahu mahkamah pada suatu masa pada 2010, pengarah mendapati permintaan mereka untuk mendapatkan RM3 bilion daripada kerajaan bagi menubuhkan syarikat itu ditolak, tambahnya mereka hanya mendapat geran RM20 juta.
Katanya, Nik Faisal melaporkan kemajuan mesyuarat SRC International dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) kepada ahli lembaga pengarah.
“Kami tahu (permintaan RM3 bilion) ditolak sebelum surat EPU (pemberitahuan rasmi),” kata Shahrol.
Perbicaraan di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin disambung pada 15 dan 17 April.