Kerajaan pusat, negeri mesti tanggungjawab bawah RUU Keselamatan Siber, gesa Badan Peguam

Kerajaan pusat, negeri mesti tanggungjawab bawah RUU Keselamatan Siber, gesa Badan Peguam

Badan Peguam menggesa agar peruntukan yang melepaskan kerajaan persekutuan dan negeri daripada pendakwaan dimansuhkan.

Presiden Badan Peguam Ezri Abdul Wahab berkata, kerajaan persekutuan dan negeri tidak boleh terlepas daripada pendakwaan bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti.
PETALING JAYA:
Badan Peguam Malaysia menggesa kerajaan mengeluarkan peruntukan daripada Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Siber 2024 yang memberikan kekebalan pendakwaan kepada kerajaan persekutuan dan negeri.

Merujuk Seksyen 2(2) dalam RUU itu, Presiden Badan Peguam Ezri Abdul Wahab berkata, kerajaan persekutuan dan negeri tidak boleh terlepas daripada pendakwaan bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti.

“Jika kerajaan persekutuan atau mana-mana kerajaan negeri didapati melakukan kesalahan bawah undang-undang ini, mereka mesti dikenakan hukuman,” katanya kepada FMT.

“Kekebalan daripada penguatkuasaan dan ketiadaan akauntabiliti di pihak kerajaan persekutuan atau negeri bagi kesalahan bawah Akta Keselamatan Siber akan membatalkan keberkesanan dasar keselamatan siber negara,” katanya kepada FMT.

Ini akan menyebabkan tiadanya rasa kebertanggungjawaban di pihak kerajaan berhubung hal keselamatan siber, tambahnya.

RUU tersebut dibentangkan di Parlimen untuk bacaan kali pertama pada Isnin, dan bacaan kali kedua awal hari ini.

Ezri turut menggesa Seksyen 59, yang mempertanggungjawabkan seseorang atas tindakan orang lain, turut dikeluarkan.

“Seksyen 59 mempertanggungjawabkan seseorang atas perbuatan, peninggalan, pengabaian atau keingkaran pekerja, ejen, pekerja ejen atau ejen kepada ejennya,” katanya.

Beliau berkata, actus reus (perbuatan salah) dan mens rea (fikiran salah) tidak boleh dikaitkan, disimpulkan dan/atau dianggap wujud dalam kes-kes sedemikian.

“Kesalahan bawah RUU Keselamatan Siber ialah kesalahan keseksaan dan bukan tort, yang mana liabiliti vikarius boleh dikenakan,” katanya sambil menambah, kes-kes sedemikian mesti dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

Dalam kenyataan semalam, Badan Peguam mencadangkan beberapa pindaan terhadap RUU tersebut. Pihaknya juga mendakwa telah menghantar surat kepada Menteri Digital Gobind Singh Deo untuk menyampaikan ulasannya mengenai undang-undang yang dicadangkan itu.

“Badan Peguam yakin bahawa cadangan (kami) akan menambah baik dan mengukuhkan RUU berkenaan, dan (kami) sangat menggalakkan kerajaan Madani untuk mempertimbangkan dan mengguna pakai cadangan tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.