Kain pengelap dalam martabak, peniaga bazar dikompaun

Kain pengelap dalam martabak, peniaga bazar dikompaun

Kementerian Kesihatan berkata siasatan mendapati peniaga di bazar Desa Pandan cuai dalam pengendalian makanan.

Gambar tular cebisan kain pengelap dalam martabak yang mencetuskan kemarahan warganet minggu lalu.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan kompaun kepada seorang peniaga bazar Ramadan selepas cebisan kain pengelap ditemui dalam martabak dijual di gerainya.

Katanya, siasatan mendapati peniaga di bazar Desa Pandan, Kuala Lumpur, cuai dalam pengendalian makanan sehingga menyebabkan cebisan kain pengelap berada dalam martabak.

“Beberapa kesalahan lain dikenal pasti dilakukan pemilik gerai, termasuk tidak membuat pengasingan jelas untuk bahan mentah dan makanan dimasak, menggunakan kain pengelap tidak bersih dan pengendali makanan tidak memakai pakaian pelindung diri dengan sempurna,” katanya dalam kenyataan.

Kompaun itu dikeluarkan bawah Peraturan 32(1)(b) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Gambar martabak itu tular minggu lalu yang mencetuskan kemarahan pengguna media sosial.

KKM mengingatkan peniaga mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan di premis masing-masing bagi mengelakkan pencemaran silang serta keracunan makanan.

“Cuaca panas yang sedang melanda negara juga boleh menyebabkan pembiakan bakteria lebih pantas dan makanan cepat basi daripada kebiasaan.”

Katanya, peniaga makanan yang didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan bawahnya boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.