
Mengulas cadangan Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau di Dewan Rakyat semalam, Suhaili berkata pembangunan Labuan terkebelakang bukan di tangan kerajaan perpaduan, sebaliknya ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Tambahnya, lawatan rasmi Anwar ke Labuan pada Disember tahun lalu juga memperlihatkan kesungguhannya membangunkan Labuan apabila sejak itu sudah lima kementerian berkunjung ke pulau berkenaan untuk mengenal pasti pembangunan berpotensi.
“Sudah lebih 40 tahun Labuan ni diserahkan kepada pusat tetapi tahap pembangunan yang dibawa ke Labuan sangat ke belakang… sangat ketinggalan. Kecuali ketika tempoh saya menjadi wakil rakyat Labuan (1999-2008).

“Tetapi bila lawatan Anwar pada Disember 2023, beliau mengarahkan semua menteri dan kementerian datang ke Labuan untuk melihat keperluan apa yang boleh dibuat di Labuan dan hingga hari ini sudah lebih lima menteri datang ke Labuan.
“Kita bagilah peluang kepada PMX kerana Labuan tidak membangun bukan di tangan kerajaan Madani… Labuan tidak membangun di tangan BN dan PN,” katanya kepada FMT mengulas cadangan Labuan dikembalikan kepada Sabah sekiranya persekutuan gagal memajukan pulau berkenaan.
Tangau mendakwa kadar pengangguran Labuan masih tinggi walaupun sudah lama ia diserahkan kepada kerajaan pusat sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan selain Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Untuk rekod, Suhaili adalah Ahli Parlimen Labuan dari 1999 hingga 2008 di bawah tiket Barisan Nasional (BN), serta kembali bertanding menerusi tiket Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 dan menang.
Dalam pada itu, Suhaili tanpa memperincikan kementerian terbabit berkata mereka perlu serius membawa peruntukan dan membangunkan Labuan, berbanding hanya menganggap pulau itu sebagai ‘retreat’ warganya.
“Saya sarankan menteri-menteri, ketua setiausaha kementerian janganlah datang ke Labuan hanya bermesyuarat.
“Bawa peruntukan dan bangunkan Labuan, bukan datang ke sini dua hari ‘retreat’ makan lepas tu balik… bukan itu sebenarnya yang PMX inginkan. Dia mahu semua menteri tengok apa yang tertinggal (untuk Labuan) dalam Belanjawan 2024,” tegasnya.
Beliau percaya Labuan boleh menjadi destinasi pelancongan terkemuka sekiranya masalah air dan elektrik dapat diselesaikan dalam waktu terdekat, selain berpotensi menjadi hab pemain industri minyak serta gas.
“Labuan ini pulau minyak dan gas, boleh dimajukan dalam pelbagai bentuk seperti pelancongan buatan dengan membina taman tema kerana kita tiada keindahan alam semula jadi seperti di Sabah.
“Boleh tiru Singapura dan Hong Kong yang bina produk pelancongan, tetapi mesti ada pelabur masuk…sebab itu bekalan elektrik dan air perlu stabil,” katanya.