
Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi Seri Paduka Baginda, Sultan Ibrahim dilihat berkenan untuk menandatangani 200 kad ucapan semalam.
“Seri Paduka Baginda amat gemar mengutus kad ucapan Aidilfitri secara tradisional kerana ia lebih mengeratkan hubungan antara istana dan rakyat jelata tanpa mengira agama dan bangsa.
“Seri Paduka Baginda lebih gemar mengutus kad ucapan Aidilfitri secara tradisional, kerana ia bukan sahaja lebih unik dan istimewa, malah sangat klasik,” menurut hantaran itu.
Pada hantaran lain, Yang di-Pertuan Agong juga dilihat berkenan berbuka puasa bersama warga polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di sini, semalam.
Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Keberangkatan tiba Seri Paduka yang juga pesuruhjaya yang dipertua kehormat PDRM disambut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara Razarudin Husain dan Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Ruji Ubi dan Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.