830kg makanan, minuman lebihan bazar Arau diselamatkan

830kg makanan, minuman lebihan bazar Arau diselamatkan

Daripada jumlah itu, sebanyak 675 kg adalah minuman tidak terjual, manakala selebihnya ialah makanan yang diselamatkan bagi tempoh 19 Mac hingga semalam.

Peniaga bazar Ramadan boleh mengelakkan pembaziran dengan merancang secara berkesan sebelum menjual makanan dan minuman masing-masing, kata Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Perlis Shamsuharizal Basir. (Gambar Bernama)
ARAU:
Sejumlah 836.65 kg makanan dan minuman yang tidak habis dijual peniaga di bazar Ramadan Arau berjaya diselamatkan bagi tempoh 19 Mac hingga semalam.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Perlis, Shamsuharizal Basir, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 675 kg merupakan minuman tidak terjual, manakala selebihnya 161.65 kg ialah makanan.

“SWCorp menjalankan Program MySavefood ini dengan kerjasama Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia melalui sukarelawan Hero Kebersihan melibatkan pensyarah dan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di bazar Ramadan Arau ini.

“Program ini hanya dilaksanakan lapan hari bermula 19 hingga 26 Mac. Lebihan makanan yang masih elok dan belum disentuh di bazar Ramadan Arau ini diagihkan kepada golongan asnaf,” katanya ketika ditemui Bernama di tapak bazar Ramadan itu di sini malam tadi.

Shamsuharizal berkata meskipun program itu lapan hari sahaja, peniaga bazar Ramadan boleh mengelakkan pembaziran dengan cara sentiasa membuat perancangan berkesan sebelum menjual makanan dan minuman masing-masing.

Sementara itu, beliau berkata janaan sisa sampah yang dibawa ke tapak pelupusan dalam tempoh Ramadan tahun lepas menurun sebanyak 3.7% berbanding 2022.

“Hal ini menunjukkan keberkesanan kempen SWCorp dengan kerjasama pihak kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan NGO (badan bukan kerajaan) … harapan SWCorp untuk tahun ini akan berlaku juga penurunan (bagi janaan sisa sampah),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.