Ramai bukan Melayu tak daftar Padu bukan sebab kurang percaya, kata Rafizi

Ramai bukan Melayu tak daftar Padu bukan sebab kurang percaya, kata Rafizi

Menteri ekonomi itu berkata ramai orang bukan Melayu tidak biasa dengan sistem bantuan kerajaan dan bukannya tidak percaya.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata beliau yakin orang ramai akan memahami objektif kerajaan menerusi Padu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menafikan jumlah pendaftaran Pangkalan Data Utama (Padu) yang rendah dalam kalangan orang bukan Melayu bukanlah berpunca daripada kurangnya kepercayaan kepada niat kerajaan.

Rafizi berkata ramai bukan Bumiputera dan bukan Melayu tidak biasa menerima bantuan daripada kerajaan secara bulanan seperti ini.

“Sebab itu mereka tidak banyak (mendaftar) dalam sistem kerajaan. Kebanyakan mereka berada dalam golongan M40 dan keatas.

“Atas sebab itu mereka tidak layak untuk apa-apa bantuan (kerajaan). Itulah sebabnya (tak ramai mendaftar), bukannya sebab ‘trust deficit’ (kurang kepercayaan),” katanya di Dewan Rakyat.

Rafizi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengapa orang bukan Melayu kurang mendaftar dengan Padu adakah ia berpunca daripada ‘trust deficit’ dalam kalangan mereka.

Pada minggu lalu, Rafizi membangkitkan kebimbangan mengenai jumlah pendaftaran Padu yang rendah dalam kalangan penduduk di Lembah Klang dan bukan Melayu.

Rafizi berkata penduduk di 4,752 lokaliti masih belum mendaftar Padu, dengan 1,282 di Selangor dan 992 di Kuala Lumpur. Petaling Jaya mempunyai jumlah penduduk tertinggi tidak mendaftar dengan Padu.

Di Dewan Rakyat, Rafizi juga berkata terdapat peningkatan pendaftaran mendadak setiap hari melepasi 8 juta setakat semalam.

Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa rakyat akan memahami apa objektif kerajaan menerusi Padu.

“Sebab itu di negeri-negeri yang ramai penduduk B40, yang ramai merasakan mereka layak menerima bantuan, negeri itulah yang menunjukkan pendaftaran lebih tinggi.

“Di negeri lebih bandar yang merasakan (penduduk) mereka tidak perlu mendapat bantuan, kita lihat ada sekitar 5% hingga 10% lebih rendah berbanding negeri-negeri di Pantai Timur dan di Utara,” katanya.

Padu dilancarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2 Jan lalu untuk menambah baik pengagihan sumber, terutama dalam pembahagian subsidi kerajaan dan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.