
Beliau berkata, kemajuan projek di negeri itu yang terpantas dan mencatat peratusan tertinggi berbanding Pahang, Kelantan serta Selangor, hasil kerjasama pelbagai pihak dalam proses pengambilan tanah.
“Proses pengambilan tanah untuk semua laluan utama ECRL di Terengganu selesai sepenuhnya, manakala kerja pemasangan landasan dijangka siap hujung tahun ini.
“Dengan kemajuan kerja sebanyak 80.28% di Terengganu dan 62.40% secara keseluruhan, kita sebenarnya di landasan baik untuk projek siap sepenuhnya pada hujung Disember 2026.
“Di Terengganu, kerja infrastruktur…sebahagian besar sudah diselesaikan. Selebihnya adalah kerja elektrifikasi, sistem dan sebagainya,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama ECRL anjuran MRL dan China Communications Construction Sdn Bhd (CCC-ECRL) di sini, malam tadi.
Pembinaan projek ECRL di Terengganu merangkumi jajaran sepanjang 242km dari daerah Besut ke Kemaman, yang turut melibatkan pembinaan enam stesen, termasuk Stesen Jertih di Besut, Stesen Bandar Permaisuri di Setiu, Stesen Kuala Terengganu dan Stesen Kemasik do Kemaman berfungsi untuk membawa penumpang.
Stesen Dungun dan Stesen Chukai di Kemaman akan dibangunkan bagi tujuan pengangkutan kargo serta penumpang.
Jajaran ECRL sepanjang 665km dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor dijangka siap pada Disember 2026.
Apabila siap kelak, masa perjalanan dari Kuala Terengganu ke Terminal Bersepadu Gombak hanya memerlukan kira-kira tiga jam.