
Sumber berkata, dua individu itu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiga hari sehingga 28 Mac.
Katanya, bayaran rasuah dibayar kepada penjawat awam yang terlibat memberi pelepasan kontena mengandungi rokok dan arak tanpa pemeriksaan.
Menurut sumber, kedua-dua suspek disyaki turut membayar wang antara RM500 hingga RM1,000 kepada mana-mana individu yang boleh memberikan dokumen pengenalan diri untuk didaftarkan sebagai pemilik kepada syarikat palsu.
“Susulan Op Samba 2.0 yang dijalankan sejak dua minggu lalu, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), semalam telah menahan 14 lagi individu terdiri daripada 12 penjawat awam dan pemilik serta pengarah syarikat ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
“Seramai 12 penjawat awam telah dibebaskan selepas keterangan mereka dirakam, manakala pemilik dan pengarah syarikat berkenaan telah ditahan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Selain itu, dua suspek itu juga dipercayai menjalankan kegiatan haram lain, seperti perjudian secara dalam talian dan menjadi orang tengah bagi mencari khidmat ‘forwarding agent’ bagi kegunaan sindiket haram di negara ini.
Dalam operasi khas dijalankan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM), sehingga kini SPRM telah menahan 34 penjawat awam dan sembilan orang awam yang dipercayai terbabit sindiket berkenaan sejak tahun 2018 hingga 2023.
Sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi dengan menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.
Selain itu, sindiket ini juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’ dan juga melalui pengurup wang.
Sementara itu, Pengarah AML SPRM Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman dua suspek tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.