
Bercakap kepada FMT, Tajuddin Rasdi daripada Universiti UCSI berkata, Akmal mungkin tidak akan menyahut cabaran Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau agar beliau menuntut permohonan maaf daripada China kerana membenarkan pengeluar menghasilkan stoking sedemikian.
“Seorang pembuli akan sentiasa membuli orang yang lebih lemah daripadanya.
“(Akmal) mungkin akan terus mencanang isu itu kerana beliau tidak pedulikan akibatnya, mahupun kebajikan pekerja (KK Mart).
“Itu bukan lagi buli, itu namanya mengambil kesempatan,” kata Tajuddin.
Semalam, Tangau berkata, Adun Merlimau itu sepatutnya memberi tekanan kepada Menteri Luar yang juga Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan supaya memanggil duta China bagi mendapatkan penjelasan sekiranya Malaysia tidak mendapat jawapan yang memuaskan.
Beliau juga berkata, respons Akmal terhadap perkara ini seolah-olah usaha terdesak untuk meraih sokongan dan populariti untuk dirinya dan parti.
“Ini hanyalah suatu usaha mendapatkan perhatian dengan mengorbankan 5,000 pekerjaan, dan agar Umno kembali popular dalam kalangan orang Melayu,” katanya.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Sungai Benut Tawfik Ismail berkata, kemungkinan Akmal memanggil duta itu akan mencemarkan reputasi Malaysia.
“(Tindakan) itu tidak masuk akal, dan akan buat kita nampak berfikiran cetek,” katanya.
Beliau berkata, komen Tangau itu sekadar menonjolkan situasi berpotensi berlaku, apabila ketua pemuda itu menuntut penjelasan daripada semua pihak yang terlibat dalam penjualan stoking itu, daripada pengilang kepada penjual.
“Apa yang (Tangau) cuba katakan adalah, ‘Apa akan jadi jika Akmal kejar semua pihak di sepanjang rantaian bekalan itu, sehinggalah kepada kilang (pengeluar stoking) di China?’,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen itu menambah, jika tindakan sedemikian diambil terhadap semua pihak yang terlibat, ia akan terutamanya menjejaskan orang Melayu Islam.
“Jangan lupa apabila stoking itu dihasilkan dan diimport ke Malaysia, ia perlu melalui kastam. Mengapa (Akmal) tak kejar pegawai kastam yang membenarkan stoking itu masuk?”