
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata dalam menyalurkan bantuan dengan lebih efektif, maklumat berhubung ekonomi dan kedudukan kewangan memanglah amat penting bagi menentukan kejayaan subsidi bersasar.
“Namun, bukanlah sehingga ke tahap mendedahkan profil sulit dan peribadi seseorang, yang sememangnya tidak wajar didedahkan, dalam menentukan kelayakan penerima yang disasarkan,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan keputusan kerajaan Sarawak baru-baru ini untuk menghentikan proses pendaftaran Padu di negeri itu, sementara menantikan penambahbaikan terhadap pelaksanaannya.
“Kerajaan Sarawak secara prinsipnya menyokong niat murni kerajaan persekutuan bagi memastikan sumber-sumber kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia disalurkan dengan lebih berkesan, namun pelaksanaannya ia perlu dibuat dengan penuh waspada,” katanya.
Beliau berkata, kebimbangan dibangkitkan Kerajaan Sarawak dan orang ramai secara amnya memang berasas memandangkan kes-kes berkaitan kebocoran data memang berleluasa pada masa ini, dan pengumpulan data peribadi semua rakyat Malaysia dalam satu pangkalan data pusat memerlukan tahap keselamatan serta perlindungan data amat tinggi.
“Penjelasan daripada Kementerian Ekonomi mengenai perkara itu berhubung pelaksanaan keselamatan dan protokolnya adalah penting bagi kerajaan Sarawak menyokong penuh inisiatif kerajaan persekutuan itu, kerana kerajaan negeri juga perlu melindungi kepentingan rakyat Sarawak,” tambahnya.
Menjawab kebimbangan dibangkitkan kerajaan Sarawak, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dipetik sebagai berkata bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak minggu ini untuk berbincang mengenai pendaftaran Padu.
Beliau berkata, ia susulan arahan kerajaan negeri menangguhkan proses pendaftaran dan pengemaskinian sistem itu.
“Setakat ini saya difahamkan bahawa arahan untuk menghentikan pendaftaran hanya terpakai kepada pegawai-pegawai kerajaan dan petugas kerajaan negeri.
“Kami telah hubungi kerajaan Sarawak, dan minggu depan (minggu ini), Kementerian Ekonomi akan duduk berbincang mengenai perkara ini dengan mereka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi dialog awam Padu di Shah Alam, kelmarin.