
Beliau berkata, pelantikan pegawai awam baharu yang akan memasuki perkhidmatan awam juga akan dibuat secara tetap dan bercarum melalui satu tabung caruman akan ditentukan kemudian.
“Kajian ini juga mengambil kira sudut perundangan, supaya tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak pencen bawah Perkara 147 kepada semua pegawai awam sedia ada sekarang, yang berstatus tetap dan berpencen,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Zaliha menjawab pertanyaan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang), sama ada keputusan kerajaan melaksanakan peraturan baharu pelantikan ke perkhidmatan awam bermula 1 Feb lalu, secara kontrak tanpa lantikan tetap, adalah bercanggah dengan Perlembagaan.
Zaliha turut menjelaskan, kaedah lantikan kontrak (interim) hanya langkah sementara bagi menunggu kaedah baru lantikan tetap pegawai perkhidmatan awam dimuktamadkan kelak.
Katanya, kerajaan juga akan memastikan kaedah lantikan baharu tidak merugikan pegawai baharu berbanding mereka yang lebih senior dalam skim perkhidmatan awam.