Kenapa ‘bisu’, NGO persoal AADK berkait dakwaan dera di pusat pemulihan

Kenapa ‘bisu’, NGO persoal AADK berkait dakwaan dera di pusat pemulihan

Presiden Tamilar Kular David Marshel berkata sehingga kini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan agensi itu.

Presiden Urimai, P Ramasamy (dua, kiri depan) dan Presiden Tamilar Kular, David Marshel (lima, kiri depan) pada sidang media hari ini.
KUALA LUMPUR:
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mempersoalkan mengapa Agensi Antidadah Kebangsaan (ADKK) “membisu” susulan lima laporan melibatkan kes dera di sebuah pusat pemulihan bawah agensi itu dibuat baru-baru ini.

Presiden Tamilar Kular, David Marshel, berkata sehingga kini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan agensi itu, lebih-lebih lagi pusat berkenaan masih beroperasi seperti biasa.

“Adakah AADK telah turun pusat pemulihan dan buat pemeriksaan? Jangan tunggu semua bukti lenyap baru bertindak,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata, mangsa mendakwa tiada pemeriksaan berkala di pusat pemulihan itu sepanjang beberapa bulan di sana.

“Kita minta KDN (Kementerian Dalam Negeri) menerusi ADKK keluar kenyataan apakah prosedur pengendalian semua pusat pemulihan swasta di seluruh negara. Adakah pesakit dibenar dikunci mahupun dipukul sebegini?

“Bukan masuk pusat pemulihan tanpa bayaran, tetapi dilayan teruk lagi daripada tahanan,” dakwanya.

Sementara itu, Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P Ramasamy, turut mempertikai agensi terbabit seolah-olah mengabaikan isu penderaan yang melibatkan kecederaan serius.

“Adakah isu ini terlalu kecil sehingga pihak berkaitan abaikan perkara ini. Setakat ini belum ambil perhatian, ahli keluarga mangsa pun tidak diberi penjelasan,” katanya.

Dakwanya, setakat ini seramai 18 daripada 40 pelatih di pusat berkenaan berjaya melarikan daripada “penyeksaan”, namun masih ada yang terkurung.

Rabu lalu, dua lelaki yang juga sukarelawan sebuah pusat pemulihan dadah persendirian di Lenggeng, Negeri Sembilan, ditahan polis susulan seorang pelatih dikatakan dipukul dan dibelasah.

Ketua Polis Nilai, Abdul Malik Hasim, berkata penahanan itu dibuat susulan laporan seorang wanita menyatakan adik iparnya dipukul semasa berada di sebuah pusat pemulihan dadah di daerah berkenaan.

Terdahulu, tular di media sosial mangsa berusia 37 tahun, dipercayai didera dan dibelasah sehingga buta di sebuah pusat pemulihan dadah persendirian di Lenggeng.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.