Keda perlu utamakan keberkesanan projek, kata Zahid

Keda perlu utamakan keberkesanan projek, kata Zahid

Timbalan Perdana Menteri yang juga menteri kemajuan wilayah dan desa berkata keberkesanan kos harus menjadi agenda utama dan bukan sekadar jumlah projek yang dilaksanakan.

Zahid Hamidi berkata tahun ini Keda menerima RM50.716 juta untuk pembangunan meliputi 11 projek prasarana, enam projek ekonomi dan pertanian serta lima projek modal insan dan usahawan. (Gambar Bernama)
PENDANG:
Peruntukan besar yang disalurkan kerajaan Persekutuan kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) harus disusuli dengan keberhasilan dan keberkesanan projek yang dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata sejak ditubuhkan pada 1981, Keda telah menerima peruntukan berjumlah RM2.31 bilion dan ia merupakan satu jumlah yang besar.

“Biarpun kita lihat bahawa terdapat output daripada projek-projek yang dijalankan dan saya mengharapkan pengerusi Keda yang baharu (Datuk Seri Jamil Khir Baharom) untuk melihat hasil atau keberhasilan (projeknya).

“Saya yakin keberkesanan kos atau cost effective harus menjadi agenda utama bukan sekadar berapa projek yang dijalankan tetapi keberkesanan sesuatu projek itu,” katanya.

Menteri kemajuan wilayah dan desa itu berkata demikian pada sidang media ketika Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Felda Sungai Tiang di sini hari ini.

Beliau berkata bagi tahun ini, Keda menerima RM50.716 juta untuk pembangunan meliputi 11 projek prasarana, enam projek ekonomi dan pertanian serta lima projek modal insan dan usahawan.

Menurut beliau, keberkesanan projek berkenaan antaranya harus dilihat dari sudut bilangan masyarakat luar bandar yang berjaya dikeluarkan daripada garis kemiskinan khususnya kemiskinan tegar.

Zahid berkata peningkatan jumlah usahawan khususnya daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga dilihat sebagai satu daripada keberkesanan projek yang dilaksanakan.

Beliau berkata penyelarasan juga perlu dilakukan bagi memantau keberkesanan atau keberhasilan projek yang dilaksanakan oleh agensi dan kementerian lain.

Dalam pada itu, Zahid berkata pihaknya akan memberi penekanan kepada program-program baharu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk ditawarkan di Kolej Keda.

“Tentunya kita juga melihat bahawa kursus-kursus TVET akan disesuaikan mengikut permintaan pasaran umpamanya teknologi baharu.

“Maka Kolej Keda antaranya telah menawarkan kursus-kursus berdasarkan teknologi kenderaan elektrik, teknologi AI dan ini adalah kehendak pasaran sekarang,” katanya.

Beliau juga menyeru kepada pusat tahfiz seluruh negara untuk menghubungi KKWD bagi mengadakan kursus-kursus TVET di pusat pendidikan itu yang turut diberikan bantuan bersesuaian.

“Kita minta mereka supaya menghubungi kami dan kami akan melakukan penelitian mengikut kesesuaian maahad tahfiz itu untuk kita bawa pelajar-pelajarnya bagi mengikuti kursus-kursus TVET,” katanya sambil menambah terdapat 1,999 pusat tahfiz berdaftar di seluruh negara ketika ini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir, Pengerusi Keda Jamil Khir Baharom dan Ketua BN Kedah Mahdzir Khalid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.