‘Kami sembang elok’, Saifuddin tiada masalah dengan Sanusi

‘Kami sembang elok’, Saifuddin tiada masalah dengan Sanusi

Saifuddin Nasution Ismail selaku pengerusi bersama MTPN berkata beliau hormat kedudukan menteri besar Kedah itu bangunkan negeri.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau tiada masalah dengan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor.
PUTRAJAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menepis tanggapan hubungan dingin dengan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor, sebaliknya mengakui mereka mempunyai “hubungan baik”.

Saifuddin berkata, selaku pengerusi bersama Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN), beliau juga faham Sanusi mempunyai tugas berat sebagai menteri besar.

“Saya faham Sanusi ada tanggungjawab berat di Kedah. Biar kita buat dalam urusan kerja masing-masing dulu, jika ada keperluan ke hadapan kita tengoklah, tidak ada gaduh-gaduh.

“Saya tiada masalah dengan dia (Sanusi), jumpa di Parlimen, bersalaman elok, sembang elok, tidak ada masalah, cuma di peringkat jawatankuasa pembangunan negeri, saya mewakili persekutuan…dia sebagai menteri besar, pengerusi bersama,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama kepimpinan, jabatan dan agensi KDN bersama media.

Saifuddin berkata, tujuan beliau turun padang ke Kedah adalah bagi memastikan projek dirancang kerajaan persekutuan berjalan baik.

“Selepas setahun (pentadbiran kerajaan) fokus saya memantau, memastikan semua projek persekutuan jalan ikut jadual. Saya turun padang macam biasa,” katanya.

Ketika sesi DUN Kedah sebelum ini, Sanusi menyuarakan kekecewaan dan mendakwa Saifuddin gagal mengadakan mesyuarat MTPN Kedah sejak lebih setahun lalu untuk membincangkan projek infrastruktur antara kerajaan pusat dan negeri.

Saifuddin dalam maklum balas mendakwa, Sanusi tidak boleh menyimpan rahsia kerana menggunakan maklumat dalam mesyuarat untuk ceramah politik yang menjadikan faktor ia tidak dijalankan.

Sementara itu, Saifuddin berkata kepimpinan PKR pusat sedia maklum kemelut melanda kepimpinan PKR Sabah dan ia akan ditangani dalam masa terdekat.

“Parti politik macam PKR yang terbuka sentiasa dinamik, termasuk PKR Sabah, ada sedikit berbeza pandangan tentang kepimpinan negeri.

“(Isu itu) dalam pengetahuan PKR pusat dan dalam masa terdekat kita akan cuba redakan masalah tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.