
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan inflasi itu didorong oleh peningkatan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (2.7%); rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.6%) dan pengangkutan (1.2%).
“Bagaimanapun, antara kumpulan utama yang merekodkan peningkatan lebih perlahan (termasuk) restoran dan perkhidmatan penginapan (2.9%), kesihatan (2.2%), makanan dan minuman (1.9%) dan pendidikan (1.5%),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8% daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatat peningkatan lebih rendah, iaitu 1.9% pada Februari 2024 (Januari 2024: 2.0%).
Katanya, inflasi bulanan terus meningkat 0.5% (Januari 2024: 0.2%) dengan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, masing-masing meningkat 1.3%, 0.6% dan 0.4%.
Inflasi teras meningkat pada kadar sama seperti Januari 2024 sebanyak 1.8% berikutan peningkatan dalam kumpulan makanan dan minuman, restoran dan perkhidmatan penginapan yang masing-masing meningkat 3.1% dan 2.9% pada Februari.
Kadar Inflasi Malaysia 1.8% adalah lebih rendah berbanding Vietnam (4.0%), Filipina (3.4%), Amerika Syarikat (3.2%), Korea (3.1%) dan Indonesia (2.8%).
Bagaimanapun, kadar itu lebih tinggi berbanding China (0.7%) dan Thailand (-0.8%).