Geng pecah peti besi libat kerugian RM1.36 juta tumpas

Geng pecah peti besi libat kerugian RM1.36 juta tumpas

Penjenayah sasar rumah tidak didiami di kawasan elit.

Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun berkata pihaknya yakin 14 kes pecah rumah melibatkan RM1.36 juta dapat diselesaikan. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Polis Sabah menumpaskan empat geng pecah rumah menyasarkan peti besi melibatkan kerugian RM1.36 juta dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun, berkata seramai 12 suspek ditahan dan 14 kes pecah rumah menyasarkan peti besi dapat diselesaikan dengan tumpasnya kumpulan berkenaan.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu menyasarkan rumah yang tidak didiami di kawasan elit.

“Ada kumpulan ini kenal pasti rumah tidak didiami dengan jumlah surat khabar yang terbiar di kawasan kaki lima atau koridor rumah, ini cara mereka dapatkan petunjuk bahawa rumah itu tidak berpenghuni untuk jangka masa pendek.

“Kita harap semua tidak meninggalkan tanda menunjukkan rumah tidak berpenghuni, hubungi pihak polis atau daftar dalam aplikasi VSP (Volunteer Smartphone Patrol) untuk sebarang pergerakan supaya polis boleh pantau rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024 di IPK Sabah.

Sementara itu, Jauteh berkata dalam tempoh sama, jumlah kes jenayah di Sabah meningkat 23.34% iaitu 782 kes berbanding 634 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, peningkatan itu disebabkan pendekatan diambil bagi memastikan kertas siasatan dibuka untuk semua laporan polis yang mempunyai unsur jenayah walaupun laporan polis berkenaan tidak memerlukan siasatan seperti jumlah kerugian terlalu kecil.

“Kalau tutup atau tidak buat siasatan sudah tentu kita tidak mengetahui ‘pattern’ dan taburan jenayah yang berlaku di Sabah ini dengan terperinci. Dengan cara ini strategi lebih berkesan dapat dilaksanakan dalam mencegah jenayah,” katanya.

Walaupun jumlah kes bertambah, bilangan kes diselesaikan juga meningkat sebanyak 65.35% pada tempoh sama tahun ini dengan 511 kes berjaya diselesaikan.

Jauteh berkata, dalam memastikan keselamatan orang ramai ketika sambutan Aidilfitri, seramai 1,041 anggota polis digerakkan dalam pelbagai operasi antaranya Ops Selamat dan Ops Pintu.

“Sebanyak 54 kawasan panas telah dikenal pasti untuk operasi ini di seluruh Sabah bagi memastikan keselamatan orang ramai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.