
Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pelaburan itu termasuk dalam bidang pembuatan besi dan keluli, penanaman napier, kilang pulpa dan bekas makanan yang membuka 5,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
Beliau berkata, nilai pelaburan itu mewakili 57% daripada RM4.2 bilion sasaran pelaburan ditetapkan ECERDC untuk Terengganu tahun ini.
“ECERDC juga berjaya menarik pelaburan komited baharu bernilai RM1.02 bilion dalam sektor minyak, gas dan petrokimia (RM940 juta), perkhidmatan (RM50 juta), pelancongan (RM20 juta) dan pembuatan (RM10 juta) setakat Mac ini.
“Sebanyak 65% melibatkan pelaburan langsung asing (FDI) dengan pelaburan tertinggi diterima dari Jepun iaitu sebanyak RM660 juta,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Turut hadir dalam mesyuarat ICC itu Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Setiausaha Bahagian Pembangunan Jabatan Perdana Menteri Jazmanie Shafawi dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Baidzawi Che Mat.
Baidzawi berkata, mesyuarat ICC turut membincangkan pembangunan industri kenderaan rekreasi (RV) dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab RC di Asia Pasifik menjelang 2025.
Sehubungan itu, katanya beberapa lokasi dikenal pasti untuk dimajukan sebagai taman RV di Terengganu.
“Di samping itu, ECERDC juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama sebuah syarikat penjanaan kuasa terkemuka dari China sebagai usaha menarik pelaburan baharu ke negeri ini.
“Untuk projek jalan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke Kuala Terengganu City Centre (KTAR) pula, kemajuannya telah mencapai tahap 37% hingga Februari lepas,” katanya.