PN tak mahu ulas isu stoking kerana agenda pihak tertentu, kata Dominic

PN tak mahu ulas isu stoking kerana agenda pihak tertentu, kata Dominic

Presiden Gerakan berkata Perikatan Nasional tidak mahu terlibat dengan agenda pihak tertentu.

Presiden Gerakan Dominic Lau berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa tangani isu stoking tertera kalimah Allah.
KUALA LUMPUR:
Perikatan Nasional (PN) tidak mahu mengulas isu stoking tertera kalimah Allah kerana pihak tertentu menjadikan ia agenda politik, menurut presiden Gerakan.

Ditanya kenapa PN ‘diam’ dalam isu itu, Dominic berkata gabungan itu tidak mahu terlibat dengan agenda berkenaan, tanpa menamakan pihak tersebut.

“Kita katakan diam lebih baik dari bersuara kerana isu ini telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa dan bagilah pihak berkuasa jalankan kerja mereka. Kalau nak buat tuduhan di mahkamah, ‘let them go on’… kenapa kita nak komen.

“Kita tak mahu komen kerana ia dijadikan agenda politik oleh pihak tertentu. Jadi, kita tak nak terlibat. Kenapa nak bagi peluang (kepada pihak tertentu),” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran logo dan slogan “Chaiyo Gerakan” di Menara PGRM, Cheras.

Ditanya sama ada PN memutuskan memboikot kedai serbaneka KK Mart, Dominic berkata gabungan itu tidak membuat sebarang perbincangan berhubung perkara tersebut.

Beliau juga mengingatkan ada perkara tidak perlu diulas “kerana tak mahu ia dijadikan isu kaum”.

“Lebih banyak kamu komen, pihak ‘sebelah sana’ lebih suka,” katanya.

Terdahulu, Dominic dalam ucapannya berkata Gerakan mahu memastikan sistem dua parti tidak akan menjadi “sistem dua kaum” yang fokus pada isu perkauman, sebaliknya mahu membentuk persaingan sihat antara dua pakatan politik.

Ditanya mengenai maksud dua parti, Dominic berkata ia merujuk kepada kerajaan dan pembangkang, manakala dua kaum pula melibatkan “isu Melayu dan bukan Melayu”.

“Perbezaan pandangan itu biasa kerana kita berbilang kaum, agama dan budaya tapi apa kita bimbang sekarang bila kita lihat isu sensitif seperti bak kut teh, kantin sekolah, sekolah vernakular, semua isu ini bukan jadi perbezaan pandangan sebaliknya dah jadi isu bangsa. Kita tak nak negara ini ‘dua kaum’.

“Kita nak sistem dua parti. Kita ‘okay’ sebagai kerajaan dan pembangkang tapi tak nak dari perspektif perkauman kerana negara kita berbilang kaum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.